GEORGE TOWN: Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang terus mencatat peningkatan apabila 3,990 kes direkodkan berbanding hanya 176 pada tempoh sama tahun 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, sehingga minggu epid ke 23 jumlah kumulatif kes HFMD yang dilaporkan meningkat sebanyak 22 kali ganda.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Dr Norlela berkata, sebanyak 1,727 kes direkodkan pada minggu sama pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19 dengan peningkatan ketika itu adalah sebanyak 1.3 kali ganda.

Menurut Dr Norlela, daerah Barat Daya merekodkan kes tertinggi dengan 988 kes diikuti daerah Seberang Perai Tengah (867 kes), Seberang Perai Utara (826 kes), Timur Laut (786 kes) dan Seberang Perai Selatan (523 kes).

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini, tiada daerah dikategorikan zon merah dan keadaan masih lagi terkawal meskipun berlaku peningkatan kes.

Katanya, jumlah kluster juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 16 kali ganda iaitu 119 kluster berbanding hanya tujuh kluster yang dilaporkan tahun lalu pada tempoh sama.

Beliau berkata, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun iaitu sebanyak 3,357 kes iaitu 88.65 peratus diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 377 kes kira-kira 9.45 peratus.

Sementara, 256 kes atau 1.9 peratus pula menjangkiti kanak-kanak berusia lebih 12 tahun.

Dalam pada itu, beliau menasihati semua pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika untuk sentiasa memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.

Mereka juga diminta membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidakhadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya

Sebelum ini, sebanyak 959 kes HFMD di rekodkan di Pulau Pinang sejak Januari hingga 7 Mei lalu berbanding 102 kes dalam tempoh yang sama pada 2021 dengan terdapat 54 kluster.

Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 82,846 kes HFMD  setakat 4 Jun lalu di seluruh negara, meningkat 32 kali ganda bagi tempoh sama, tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, tahun lalu hanya 2,485 kes HFMD dikesan, manakala keseluruhan peningkatan kes HFMD dalam negara disumbangkan Selangor (28.13 peratus atau 23,305 kes).

Katanya, ia diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (9,540 kes) serta Perak (8,032 kes), selain Kelantan (5,782 kes) dan Johor (5,234 kes).

Dilaporkan sebanyak 691 premis penjagaan kanak-kanak di seluruh negara ditutup mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) manakala 146 ditutup secara sukarela berikutan penularan HFMD.