Herpetofobia jadi inspirasi hasilkan produk halau serangga, reptilia
Bernama
Julai 6, 2021 09:52 MYT
Julai 6, 2021 09:52 MYT
KUALA LUMPUR: Jika ada yang "herpetophobia", yakni takut terhadap reptilia seperti ular dan cicak, Yantie Ismail, 42, yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang (Kelantan) yang turut berkongsi fobia yang sama, berjaya menjadikannya sebagai satu bidang keusahawanan.
Berasal dari Pasir Mas dan lebih dikenali sebagai Madam Serai Wangi di media sosial, wanita yang merupakan peserta Program Women Netpreneur anjuran SME Corp Malaysia ini berjaya menghasilkan produk penghalau serangga berasaskan serai wangi.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Perhubungan Awam), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengkaji hampir kesemua produk penghalau serangga yang ada dalam pasaran, dan mendapati serai wangi adalah bahan organik terbaik dan praktikal serta mesra alam untuk dijadikan sebagai bahan utama dalam produk penghalau serangga.
Produk berkenaan, katanya, 100 peratus menggunakan pati serai wangi yang asli serta dihasilkan dari sumber tempatan.
Akhirnya pada 28 Julai 2016, dengan memilih gabungan nama beliau dan suaminya Razli Alias serta dua ahli keluarga yang dilantik sebagai pengarah syarikat, maka tertubuhlah syarikat LERY Group Sdn Bhd yang mula beroperasi di kediaman beliau sendiri di Melawati tanpa memohon sebarang pinjaman atau geran dari pihak kerajaan mahupun mana-mana institusi kewangan.
Pada permulaan perniagaan, operasi dan penghasilan produk diadakan dari rumah dengan sampel kecil diberikan kepada bakal pelanggan.
Beliau kini mensasarkan untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan dari syarikat besar selain pasaran runcit sebelum melangkau lebih jauh ke pasaran luar negara.
Menjelas lanjut, idea tercetusnya minat mendalam dalam bidang keusahawan adalah semasa beliau bekerja di Jabatan Komunikasi Korporat, di Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pada tahun 2005 hingga 2007.
Tugas seharian beliau yang banyak bergaul dengan para usahawan membuatkan timbul minat yang mendalam dalam bidang keusahawan terutama yang bermula daripada peringkat bawah.
Akhirnya Yantie berkata, beliau memilih perusahaan produk berasaskan serai wangi sebagai salah satu produk penghalau serangga kerana beliau sangat takutkan cicak sehingga mencapai tahap herpetophobia dan boleh menangis jika ternampak cicak.
Jadi bermula dengan rasa fobia yang tinggi terhadap cicak serta minat mendalam dalam bidang pengemasan, maka beliau bertekad untuk menghasilkan sendiri produk berkenaan.
Paling menarik, Yantie menjelaskan bahawa, selepas dua bulan penubuhan LERY Group, syarikat nya berjaya mendapatkan kontrak dari tiga buah hotel bertaraf 5 bintang di Kuala Lumpur.
Dengan hanya menggunakan teknik "zero kos pemasaran", LERY Group mula berkembang melalui syor "dari mulut ke mulut". Selain hotel, pihaknya juga mempunyai pelanggan daripada kalangan restoran, taska, tadika dan syarikat persendirian.
"Falsafah atau prinsip perniagaan ialah slow and steady dan "kita naik ikut tangga, kita jangan naik guna lif. Nanti bila jatuh kita tak sakit sangat, kalau kita naik menggunakan lif, kalau kita jatuh kita akan sakit atau mungkin mati, jadi lebih selamat kita naik ikut tangga dan sentiasa redha serta terus berusaha".
Begitulah pegangan usahawan ini dan mungkin kelakar bunyinya bagi sesetengah orang tetapi pendirian inilah banyak membantu syarikat beliau untuk bertahan sehingga ke hari ini.
Syarikat milik usahawan wanita ini juga layak dipuji atas usaha beliau yang menjalankan aktiviti perniagaan berlandaskan aktiviti Circular Economy yang juga menyokong aktiviti ekonomi pekebun kecil serai wangi serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat.
Produk LERY Serai Wangi adalah produk berlabelkan "Zero Pembaziran" dari awal tahap pemprosesan hinggalah terhasilnya produk, menggunakan 100 peratus bahan organik dan bebas aerosol atau bahan kimia yang menjamin kualiti kesihatan pengguna.
Saat negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19, ramai PKS yang terjejas akibat dari keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dan LERY Group Sdn Bhd juga tidak terkecuali.
Bagi memastikan kelangsungan perniagaannya, wanita bersemangat waja ini terus membuat perubahan ke atas model perniagaan syarikat agar tidak hanya tertumpu pada sektor korporat dan perniagaan ke perniagaan (B2B) sahaja yang dahulu menyumbang 90 peratus kepada punca pendapatan syarikat.
Syarikat beliau sudah mengorak langkah memasarkan produk ke sektor runcit secara atas talian dan bawah talian dengan menggunapakai ilmu yang dipelajari sewaktu menjadi peserta Women Netpreneur pada tahun 2018 yang dianjurkan oleh SME Corp Malaysia.
Menurut Yantie, perubahan dari segi pasaran dan ekosistem perniagaan sedikit sebanyak membantu syarikat meningkatkan hasil jualan sebanyak 70 peratus dengan menyasarkan sektor peruncitan dan individu sebagai pelanggan dengan cara memanfaatkan platform dalam talian.
Beliau menambah, LERY Group Sdn Bhd sedang mengatur langkah untuk memasarkan produk ke luar negara dan sedang dalam perancangan untuk menyertai program SMEs Go Global yang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia.
-- BERNAMA