'Hero' hantar graduan USM terperangkap atas Jambatan Pulau Pinang hadir konvokesyen terima penghargaan

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 1, 2022 18:57 MYT
Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamad Adikan (kanan) beramah mesra dengan Ashri Haya di Universiti Sains Malaysia pada Rabu. - Gambar ihsan USM
GEORGE TOWN: Seorang lelaki tidak menyangka bantuan kecil yang dihulurkan kepada seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang terperangkap dalam kesesakan teruk di atas Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini membawa makna yang cukup besar buat ramai pihak.
Ashri Haya, 50, yang disifatkan sebagai ‘penyelamat’ kepada Kevin Rayappan kerana menumpangkan graduan itu sehingga berjaya tiba ke majlis konvokesyennya di USM, selepas terperangkap lebih dua jam dalam kesesakan di atas jambatan itu.
Berikutan keikhlasan Ashri itu, USM telah mengundangnya ke universiti berkenaan pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 bagi menzahirkan penghargaan buatnya selain berpeluang beramah mesra dengan pengurusan tertinggi.
Kontraktor perkhidmatan pencucian itu berkata, dia amat terharu dengan penghargaan yang diberikan dan langsung tidak menyangka bantuan yang dianggapnya kecil itu membawa makna yang cukup besar buat ramai pihak.
“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Kebetulan saya memang menyelia kerja-kerja pencucian di USM. Saya nampak graduan berkenaan terdesak mendapatkan pertolongan kerana beliau tidak henti-henti menahan penunggang motosikal.
“Disebabkan saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM, saya sanggup tumpangkan beliau kerana simpati dan faham keadaannya yang sedang panik,” katanya.
Ashri turut tidak menyangka kisahnya menjadi tular kerana selepas menumpangkan graduan tersebut, dia terus menyambung tugasan hariannya seperti biasa.
Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, USM menghargai jasa baik Ashri membantu graduan USM dan menyifatkan nilai murni itu perlu ada dalam setiap individu.
Katanya, walaupun pertolongannya nampak kecil namun kesanggupan Ashri menghulur bantuan di saat insan lain sangat memerlukan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak.
Kisah Ashri dan Kevin menjadi tular setelah Kevin dilihat sedang memegang jubah konvokesyen USM di atas jambatan sambil mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau.
Ketika kejadian, kesesakan teruk berlaku di Jambatan Pulau Pinang ekoran kemalangan pada awal pagi berkenaan.
#graduan USM #terperangkap #Jambatan Pulau Pinang #Universiti Sains Malaysia
;