Hero bot panambang, bantu mudahkan pergerakan penduduk kampung di saat PKP
Astro Awani
April 9, 2020 16:00 MYT
April 9, 2020 16:00 MYT
“Ketika ini (Perintah Kawalan Pergerakan) masih ada individu yang perlu menyeberang (sungai) untuk ke tempat kerja tetapi tiada perkhidmatan disediakan menyebabkan saya menawarkan diri untuk melakukannya, bukan sahaja untuk menghantar mereka malah menjemput mereka pulang,”.
Niat murni Wahad Lamat dari Kampung Boyan, Kuching itu harus dipuji.
Beliau mengambil inisiatif membantu penduduk kampung selepas mendengar keluhan mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting (essential services) mengalami masalah ke tempat kerja dengan pantas
Bukan mereka tiada pilihan tetapi dengan merentasi sungai menggunakan bot menjimatkan masa ke tempat kerja.
"Ini bukan tugas hakiki saya, tetapi saya mahu memudahkan penduduk kampung ini pergi bekerja sepanjang PKP ini.
"Äpabila saya dengar keluhan mereka yang hadapi masalah ke tempat kerja jika melalui jalan darat, saya mula berfikir bot yang saya ada boleh digunakan untuk membantu mereka," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Tugas sambilan Wahad itu turut memberikan wang saku tambahan kepada dirinya.
Menceritakan lebih lanjut, Wahad memberitahu, beliau juga memberikan nombor telefon peribadi kepada penduduk kampung dan para penumpang jika mereka memerlukan perkhidmatannya.
Ini kerana sepanjang tempoh PKP, kebanyakan bot panambang di Tebingan Kuching memilih untuk pulang ke kampung halaman dan secara tidak langsung menyukarkan pergerakan penduduk kampung untuk menyeberang sungai ke bandar Kuching.
Bagi penduduk Kampung Boyan yang ditemui, Faisal Rosandi yang juga merupakan seorang Pengawal Keselamatan, usaha Wahad itu cukup membantu memudahkan urusan dan pergerakan mereka untuk pergi dan pulang ke tempat kerja.
Faisal berkata, sekiranya tiada inisiatif murni dilakukan oleh Wahad ini, pasti sukar untuk mereka menyeberang dan terpaksa memilih jalan yang jauh untuk sampai ke bandar Kuching.
“Memang kami dikenakan tambang tetapi untuk waktu ini lebih-lebih lagi di saat PKP ini, usaha murni ini seharusnya dipandang tinggi kerana bukan semua orang sanggup melakukannya.
“Saya mengharapkan agar usaha baik Wahad ini akan terus dikenang penduduk di kawasan ini dan semoga terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan,” katanya.