Hercules Medicare, UPM kerjasama jalankan saringan COVID19 harga rendah

Hilmi Malik
Jun 30, 2020 19:50 MYT
Majlis menandatangani memorandum persefahaman dan perjanjian MoU antara Hercules Medicare Sdn Bdh dan Universiti Putra Malaysia UPM. - Foto Astro AWANI
Hercules Medicare Sdn Bhd menjalinkan kerjasama bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Dan Perjanjian (MOU) melibatkan kedua-dua pihak tersebut.
Pengerusinya, Datuk Seri Abu Hassan Asaari Abdullah berkata, langkah tersebut yang berpangkalan di Hospital Pengajar UPM merupakan inisiatif untuk mempertingkatkan lagi kapasiti makmal selain turut menawarkan harga yang lebih rendah bagi proses saringan COVID-19 kepada orang awam.
“Kita bawa peralatan sendiri (test kit) dan menambah peralatan makmal termasuk petugas dan kita dapatkan harga yang lebih murah berbanding tempat lain bermula RM150 hingga RM300,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum berkenaan di UPM pada Selasa.
Dalam pada itu Abu Hassan turut memaklumkan, usaha kedua-dua pihak tersebut termasuk menjalankan aktiviti saringan dengan membawa pasukan petugas makmal di premis pekerjaan tanpa memerlukan mereka untuk hadir ke hospital.
“Usaha ini telah mendapat persetujuan daripada pihak UPM dan dengan cara ini lebih ramai berpeluang untuk dapatkan saringan COVID-19 dengan cara yang mudah,” katanya lagi.
Mengulas mengenai penggunaan kit ujian bagi saringan COVID-19, syarikatnya menggunakan kit yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan keputusan mampu diperoleh dengan kadar kurang dari 72 jam bagi setiap saringan.
Turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris yang turut bersama menyempurnakan majlis menandatangani memorandum berkenaan.
#COVID19 #Hercules Medicare #Hospital #kesihatan #KKM #MoU #test kit #Universiti Putra Malaysia #UPM
;