Herald: Permohonan Gereja Katolik dapatkan semakan semula didengar 21 Jan
Bernama
November 17, 2014 15:55 MYT
November 17, 2014 15:55 MYT
Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menetapkan 21 Jan tahun depan sebagai tarikh untuk mendengar permohonan Gereja Katolik menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkannya membuat rayuan mengenai tindakan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan mingguannya 'Herald' menggunakan kalimah 'Allah'.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Nor Aziati Jaafar menetapkan tarikh itu ketika mengendalikan pengurusan kes berhubung perkara itu di dalam kamarnya hari ini.
Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi, yang mewakili Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan, berkata mahkamah itu memerintahkan semua responden (Kementerian Dalam Negeri dan pencelah yang terdiri daripada enam majlis agama Islam negeri dan Persatuan Cina Islam Malaysia [MCMA]) memfailkan afidavit jawapan masing-masing terhadap permohonan gereja itu selewat-lewatnya pada 8 Dis tahun ini.
Katanya pemohon, iaitu gereja berkenaan, dan responden juga dikehendaki memfailkan hujahan bertulis masing-masing selewat-lewatnya pada 7 Jan tahun depan.
Peguam James Lopez mewakili gereja berkenaan, manakala peguam Tajuddin Razak mewakili MCMA dan menyebut bagi pihak Majlis Agama Islam Terengganu.
Peguam Mohd Fasha Mustafa mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Selangor serta menyebut bagi pihak peguam yang mewakili Majlis Agama Islam Melaka dan Majlis Agama Islam Johor.
Pada 19 Sept tahun ini, Gereja Katolik memfailkan permohonan untuk menyemak semula penghakiman majoriti panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun 2014 yang menolak permohonan gereja itu mendapatkan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.
Permohonan itu dibuat berlandaskan tiga asas luas, termasuk isu perundangan tertentu yang menjadi teras kepada permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu dari segi skop Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Gereja itu memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Okt tahun lepas yang membenarkan kerajaan merayu untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 bahawa Herald boleh menggunakan kalimah 'Allah'.
Pada 31 Dis 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang Herald menggunakan kalimah itu adalah tidak mengikut undang-undang, tidak sah dan terbatal.
Gereja Roman Katolik, yang ketika itu dipimpin Ketua Paderi Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan semula kehakiman pada 2009 dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden serta menuntut, antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian itu melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald adalah bercanggah dengan undang-undang.