Herald: Permohonan Gereja Katolik batal rayuan kerajaan pada 22 Ogos
Bernama
Julai 19, 2013 08:09 MYT
Julai 19, 2013 08:09 MYT
Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 22 Ogos ini untuk mendengar permohonan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur bagi membatalkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah akhbar mingguan Katolik 'The Herald' menggunakan kalimah 'Allah'.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menetapkan tarikh itu ketika kes berkenaan dikemukakan di hadapannya untuk pengurusan kes pada Khamis.
Sekiranya Titular Roman Catholic Archbishop gagal membatalkan rayuan itu, Mahkamah Rayuan akan meneruskan pendengaran rayuan kerajaan pada 10 Sept.
Peguam S.Selvarajah mewakili Titular Roman Catholic Archbishop manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Arik Sanusi Yeop Johari.
Titular Roman Catholic Archbishop memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan kerajaan pada 8 Julai tahun ini.
Gereja Katolik diketuai Biskop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 16 Feb, 2010 dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai responden, antara lain bagi memohon deklarasi bahawa keputusan KDN melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam The Herald adalah tidak sah.
Akhbar mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'Allah' sebagai merujuk kepada 'God' dalam The Herald terbitan bahasa Melayu terutamanya bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak tetapi kerajaan berhujah bahawa kalimah 'Allah' hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.
Pada 31 Dis, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang penerbitan The Herald daripada menggunakan kalimah 'Allah' adalah salah, batal dan tidak sah.
Kerajaan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu