Hentikan zionisme, kolonialisme, penindasan dan pencerobohan di Palestin - Aktivis

Bernama
Jun 2, 2021 07:40 MYT
Satu perkembangan yang baik apabila perjuangan rakyat Palestin kini semakin mendapat sokongan pelbagai pihak di seluruh dunia. - Gambar fail/ Reuters
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan kemajuan di tanah Palestin yang diduduki, tindakan zionisme, pencerobohan, penjajahan dan penindasan berterusan yang dilakukan Israel mesti ditamatkan.
Menurut ahli akademik British-Palestin dan aktvis politik Azzam Tamimi, apabila lebih ramai mempunyai pengetahuan lebih mendalam mengenai akar umbi kepada konflik, ia mampu menguatkan kedudukan dan pendirian mereka berhubung isu Palestin.
"Punca utama kepada masalah itu adalah ideologi Zionisme sendiri di sebalik pencerobohan. Kita mesti membongkar ideologi perkauman dan aparteid, seperti yang berlaku di Afrika Selatan.
"Keadilan mesti ditegakkan. Manusia berhak miliki hak yang sama tanpa mengira bangsa mahupun agama mereka; jika ia tidak boleh dicapai di Palestin, maka tidak akan ada kewujudan bersama di Palestin.
"Sekali lagi, ini bukan mengenai konflik dua jiran.
"Ini adalah satu projek penjajahan, secara global, dan bukan sekadar isu serantau," katanya semasa perbincangan meja bulat mengenai Palestin 'Moving Forward and Solution' secara dalam talian.
Tamimi berkata satu perkembangan yang baik apabila perjuangan rakyat Palestin kini semakin mendapat sokongan pelbagai pihak di seluruh dunia.
"Semakin ramai, penduduk dunia memiliki kemudahan dan alat komunikasi mereka sendiri untuk mendapatkan informasi yang tepat," katanya.
Sementara itu, penganjur perbincangan Syed Ibrahim Syed Noh, selaku Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Persahabatan Malaysia-Palestin, berkata forum dan dialog berterusan diperlukan bagi membantu dan menguatkan lagi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin ke arah penyelesaian secara aman.
"Sebagai Anggota Parlimen yang mewakili suara rakyat dan prinsip keadilan, kebebasan dan kemanusiaan sejagat, serta penyokong kuat perjuangan Palestin, saya melihat banyak peluang untuk memperluas lagi hubungan dan dialog untuk mencari penyelesaian isu ini.
"Kami akan terus menganjurkan acara sebegini dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan lain yang berkaitan," katanya.
Perbincangan dalam talian itu dihadiri lima anggota Parlimen dari Malaysia, termasuk bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, dan beberapa pemimpin NGO termasuk Pengerusi Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor.
-- BERNAMA
#Palestin #Israel #Malaysia #zionisme #penindasan #memahami konflik #Gaza #Tebing Barat #aparteid
;