Hentikan semua pembinaan SUKE, bukan hanya di lokasi insiden - Tan Kok Wai

Ridauddin Daud
Mac 23, 2021 11:31 MYT
Tegas Kok Wai, panel bebas juga harus ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof harus menghentikan keseluruhan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), bukan hanya di kawasan berlakunya insiden runtuhan komponen kren gantri.
Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang menegaskan, isu keselamatan dan nyawa bukanlah satu perkara yang boleh dikompromi.
Tegasnya, panel bebas juga harus ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu.
"Saya anggap tragedi ini satu perkara yang amat sedih kerana tapak pembinaan lebuh raya SUKE sekarang sudah diangfap bahawa pembinaan paling bahaya terhadap nyawa, harta benda dan alam sekitar.
"Dalam tempoh enam bulan sejak September lepas, sudah tiga kejadian berlaku di kawasan pembinaan ini," katanya dalam sidang media selepas meninjau tapak pembinaan itu di sini pada Selasa.
Tegasnya, insiden sebegitu tidak seharusnya berlaku lebih-lebih lagi di kawasan lebuh raya yang sedang dalam pembinaan.
Setakat jam 11.30 pagi, mayat seorang lelaki masih lagi tersepit di atas beam (rasuk konkrit) pembinaan tersebut.
BACA: Insiden SUKE: Lebih 24 jam, mangsa ketiga masih belum diturunkan
Usaha untuk menurunkan mayat masih berjalan dan menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, kontraktor kini sedang giat menstabilkan struktur binaan.
Proses tersebut dijangka mengambil masa tujuh hingga sembilan jam dan selepas itu, barulah usaha menurunkan mayat boleh dilakukan.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung kejadian tersebut.
BACA: Insiden kren SUKE: Laluan di Persiaran Alam Damai ditutup sehingga Ahad
"Polis telah menutup sementara laluan dan membuat lencongan di Jalan Cerdas di sini bagi mengelak kenderaan awam melalui tempat kejadian," katanya.
Insiden Gantri Runtuh | Bagaimana untuk jaga keselamatan pengguna jalan raya?
#suke #Fadillah Yusof #kren gantri #henti #Tan Kok Wai #keselamatan #nyawa
;