'Hentikan polimik berkaitan novel Pantai Kasih'

Adie Sufian Zulkefli
Februari 15, 2016 17:39 MYT
Novel Pantai Kasih digunakan sebagai komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Tingkatan 4 di Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Hentikan polimik berkaitan novel Pantai Kasih.
Itu gesaan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab berhubung tindakan beberapa pihak yang masih mempersoalkan kebenaran Kementerian Pendidikan untuk terus mengguna novel itu sebagai pembelajaran pelajar Tingkatan 4.
Jelas beliau, keputusan kementerian pada 12 Feb lalu membuktikan novel sastera itu tidak mempunyai unsur-unsur lucah, sebaliknya dapat merangsang pelajar berfikir secara matang dan rasional dalam membuat keputusan.
Buku itu banyak menitikberatkan aspek keindahan bahasa, kosa kata dan tata bahasa dan ia sesuai untuk dipelajari oleh pelajar Tingkatan 4 berfikir secara kritis, katanya.
Ahmad Tajudin berkata semua pihak harus melihat dan menerima dengan positif isi kandungan buku itu dan bukan hanya menilai pada satu-satu petikan sahaja.
"Pelbagai pihak termasuk pakar bahasa dan ahli akademik telah dipanggil untuk berbincang dengan panjang lebar berhubung novel ini.
"Berdasarkan perbincangan mereka, mereka dapati secara keseluruhan buku itu sesuai untuk murid peringkat umur itu. Kita kena lihat buku itu secara keseluruhan, ilmunya secara keseluruhan, baru kita dapat menilai secara positif.
"Saya rasa polimik ini perlu dihentikan. Kami di kementerian, kami lalukannya secara professional," kata Ahmad Tajudin selepas mengadakan mesyuarat pelaporan status pelaksanaan transformasi pendidikan sekolah-sekolah Kodiang di Pusat Kegiatan Guru di sini.
Oleh itu, ibu bapa terutamanya tidak perlu bimbang kerana keseluruhan novel itu telah dinilai oleh panel-panel penilai dan juga telah melalui proses penyaringan dan pemilihan yang ketat sebelum digunakan, tambahnya.
Sebelum ini, novel Pantai Kasih yang diguna sebagai komponen sastera (Komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran Tingkatan 4 di Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu, dikritik hebat oleh pelbagai pihak yang mendakwa terdapat unsur lucah.
Selain Pantai Kasih, tiga lagi novel dipilih sebagai Komsas pelajar Tingkatan 4 mengikut zon, iaitu Jendela Menghadap Jalan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak; novel Leftenan Adnan Wira Bangsa bagi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan, serta novel Disebalik Dinara untuk Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan.
#novel Pantai Kasih lucah #novel Pantai Kasih untuk Tingkatan 4
;