Hentikan perlombongan bauksit di Kuantan satu langkah tepat

Astro Awani
Januari 2, 2016 20:07 MYT
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah berkenaan turut meredakan masalah yang dihadapi penduduk di daerah Kemaman yang menerima tempias akibat aktiviti terbabit. - Gambar Fail
Keputusan Kabinet menghentikan sementara aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang adalah tepat dalam konteks mencari penyelesaian terhadap isu pencemaran alam yang semakin kritikal.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, langkah berkenaan turut meredakan masalah yang dihadapi penduduk di daerah Kemaman di negeri itu yang menerima tempias akibat aktiviti terbabit.
Menurutnya, kajian yang bakal dijalankan perlu mengambilkira kualiti hidup penduduk yang terjejas akibat aktiviti berkenaan serta kerugian yang ditanggung akibat kerosakan jalan raya yang menjadi laluan lori bauksit.
"Kerajaan negeri menyokong penuh (keputusan) Kementerian kerana apabila hendak mengambil langkah drastik, cadangan untuk menghentikan semenatara mungkin adalah jalan terbaik untuk kita menenangkan keadaan dan selepas itu mencari satu mekanisma atau kaedah yang terbaik supaya perkara yang sebelum ini tidak akan berlaku lagi," ujar Ahmad Razif.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majllis Jom Kembali ke Sekolah di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus.
Menurutnya, langkah kerajaan negeri menghantar bantahan kepada Kerajaan Negeri Pahang serta meningkatkan penguatkuasaan adalah rentetan kemarahan penduduk di Kemaman terutama di Felda Neram.
Pihaknya juga memandang serius pencerobohan di tanah milik kerajaan negeri dan menyifatkanya sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan, Jemaah Menteri membuat keputusan untuk menghentikan sementara perlombongan bauksit selama tiga bulan.
Tempoh berkenaan bagi mencari mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah pencemaran yang memasuki episod baharu apabila mengakibatkan Sungai Balok dan laut di Pantai Batu Hitam, Kuantan bertukar menjadi merah.
#Adnan Yaakob #bauksit #Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman #Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Kuantan
;