Hentikan penyebaran berita palsu - Polis Terengganu

Astro Awani
Julai 8, 2018 08:00 MYT
Kebakaran yang besar itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.40 petang Sabtu. - Foto fail
Polis Terengganu menggesa orang ramai untuk menghentikan penyebaran berita palsu membabitkan kebakaran tiga tangki minyak mentah milik Kemaman Bintumen Company (KBC).
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Supritenden Mohd Haki Abdullah berkata, siasatan boleh dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Berita Tidak Benar 2018.
Ia susulan laporan yang tular di media sosial mendakwa ada enam mangsa rentung dalam tragedi berkenaan.
"Saya menasihati masyarakat dan penduduk sekitar agar tidak perlu risau dengan situasi yang berlaku kerana ianya terkawal," katanya selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah JBPM negeri Terengganu dan pihak pengurusan KBC pada Sabtu.
Tambahnya, penularan berita palsu di media sosial telah menimbulkan keresahan penduduk khususnya mereka yang tinggal berhampiran kilang berkenaan.
Selepas hampir 49 jam, kebakaran yang besar itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.40 petang Sabtu.
Usaha pemadaman yang dilakukan sejak Khamis membabitkan 450 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
BACA: Jawatankuasa khas siasat punca kebakaran KBC
Ketua Pegawai Eksekutif KBC, Sanjay Groover berkata, kebakaran tersebut mengakibatkan dua tangki rosak teruk manakala sebuah lagi terbakar di bahagian bumbung.
"Kita akan melakukan pemeriksaan lanjut terhadap tangki lain di dalam kawasan ini dengan bantuan serta kelulusan daripada pakar perunding.
"Kita juga akan memanggil pakar yang akan memeriksa tatacara kerja dan keselamatan bagi tangki dan saliran paip yang tidak terjejas dan apabila kita memperoleh kelulusan berkenaan, kita akan mula menggunakan tangki ini semula.
"Setakat ini, tangki yang lain tidak terjejas dan selamat digunakan selepas pihak bomba memberi kebenaran penuh," katanya ketika ditemui media.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #KBC #kebakaran #Kemaman Bintumen Company #Mohd Haki Abdullah #Sanjay Groover
;