Hentikan penyebaran berita mengenai Mohamad Thafiq - Asyraf Wajdi

Bernama
April 29, 2017 07:06 MYT
Orang ramai diminta menghentikan penyebaran dan menularkan pelbagai bentuk berita mengenai pelajar tahfiz di Kota Tinggi, Johor Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi. -Gambar fail
Orang ramai diminta menghentikan penyebaran dan menularkan pelbagai bentuk berita mengenai pelajar tahfiz di Kota Tinggi, Johor Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi serta merta kerana kes pelajar itu masih dalam siasatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata berita yang disebarkan di media sosial kebanyakan bukan dari sumber berita yang sahih dan dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai berita palsu dan fitnah.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, biarlah pihak yang berwajib melakukan siasatan yang terperinci terhadap kes ini...tunggulah kenyataan dikeluarkan oleh pihak yang terlibat dalam kes ini, jangan mengeruhkan lagi keadaan," katanya ketika ditemui pemberita di Pertandingan Memasak Bubur Lambuk 2017, di Menara Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Pertandingan Memasak Bubur Lambuk itu adalah anjuran Menara Kuala Lumpur dengan kerjasama Masjid Jamek Kampung Baru dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan.
Mohamad Thaqif, 11,meninggal dunia pada Rabu lepas di Hospital Sultan Ibrahim Johor Bahru selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 19 April untuk dirawat selepas kakinya cedera setelah dipercayai dipukul oleh pembantu warden di sekolah tahfiz di mana arwah belajar.
Selepas kedua-dua belah kakinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadualkan dipotong dari jari hingga bawah siku pada hari sama dia meninggal dunia, namun pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilapor tidak stabil.
Sementara itu, mengenai pertandingan memasak bubur lambuk, Meor Shahril berkata ia diadakan bersempena dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
"Bubur lambuk sinonim dengan bulan Ramadan iaitu bulan puasa yang akan tiba tidak lama lagi, maka itu tujuan utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk memperkenalkan Bubur Lambuk kepada pelancong asing yang mengunjungi ke Menara Kuala Lumpur.
"Seramai 120 peserta dari 30 pasukan menyertai pertandingan memasak bubur lambuk tahun ini, pasukan terdiri dari kategori masjid, hotel dan restoran," katanya.
Beliau berkata matlamat utama penganjuran ialah ialah memberi peluang kepada para pengunjung tempatan dan luar negara mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sejarah dan kaedah masakan bubur lambuk yang merupakan antara juadah yang cukup popular pada bulan Ramadan.
-- BERNAMA
#Asyraf Wajdi Dusuki #pelajar tahfiz
;