Hentikan pembelian panik minyak masak - Ekonsave Johor
Astro Awani
November 3, 2016 17:11 MYT
November 3, 2016 17:11 MYT
Orang ramai perlu menghentikan tindakan ‘pembelian panik’ minyak masak yang menyebabkan kekurangan bahan tersebut di sesetengah pasar raya.
Ini adalah nasihat pengurus operasi Ekonsave Johor, Mas Imran Adam, yang berkata stok minyak masak akan kembali kepada biasa dalam sehari dua ini.
“Saya minta kepada pengguna tidak perlulah beli minyak masak dengan berlebihan.
“Pagi tadi kita keluarkan empat kotak minyak masak. Dalam masa satu jam sudah habis dibeli oleh pelanggan. Itu pun selepas kita hadkan satu botol setiap pelanggan.
“Ia dapat bertahan dalam 45 minit ke satu jam sahaja. Jadi sekarang ini berlaku pembelian panik dalam kalangan pelanggan. Tetapi kita masih menjual pada harga asal sebab stok lama,” katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, beliau menafikan bahawa ada pihak penjual yang menyimpan bekalan stok minyak dan tidak mahu menjualnya.
Katanya, setiap pasar raya tertakluk kepada undang-undang dan ramai yang tidak berani berbuat demikian.
“Pasar raya tertakluk kepada Akta Pencatutan. Di bawah Akta Pencatutan ini, kita tidak boleh sesuka hati menjual minyak pada harga tinggi.
“Kalau sebelum ini keuntungan kita 30 sen, sekarang pun kita ambil keuntungan yang sama. Kalau tidak, mereka boleh dikenakan tindakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan harga minyak masak paket 1 kilogram kekal RM2.50, manakala harga minyak masak dalam botol akan mengikut harga pasaran berkuatkuasa 1 November.
Ia berikutan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak yang dilakukan kerajaan yang terpaksa membelanjakan hampir RM100 juta sebulan untuk menanggung subsidi minyak masak bagi November dan Disember.