Hentikan pekerja semasa PKP, PKPB tindakan tidak berperikemanusiaan - MTUC
Ridauddin Daud
Mei 27, 2020 14:10 MYT
Mei 27, 2020 14:10 MYT
Langkah memberhentikan pekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon menyifatkan tindakan itu sebagai penindasan terhadap pekerja.
“Pendirian MTUC adalah jelas, apa juga tindakan memberhentikan pekerja yang dilakukan semasa PKP atau PKPB adalah tindakan tidak berperikemanusiaan dan dilakukan untuk menindas pekerja dengan sewenang-wenangnya.
“Kami juga mengesyaki ada ugutan memecat pekerja dengan menggunakan alasan kegagalan mematuhi PKPB sebagai sebahagian rancangan majikan tertentu untuk mengurangkan tenaga kerja,” katanya kepada Astro AWANI.
Beliau berkata demikian dalam respons terhadap kenyataan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) baru-baru ini yang menjangkakan pemberhentian pekerja akan terus berlaku selepas Aidilfitri, kesan daripada pandemik COVID-19.
Tambah beliau, MTUC sudah menjangka perkara sedemikian akan berlaku, justeru pihaknya mencadangkan kerajaan memperkenalkan Peraturan Pekerjaan Darurat (EER) yang melarang majikan membuang atau memecat pekerja untuk tempoh tertentu.
Menurutnya, draf cadangan itu boleh digubal dengan kuasa menteri namun sehingga kini, masih tiada perkembangan berhubung cadangan tersebut.
“Jika kerajaan melaksanakan EER, tidak mungkin akan berlaku pemecatan, pemotongan gaji dan sebagainya. Kita harap majikan jangan sewenang-wenangnya buang pekerja.
“Apa yang kita lihat, tindakan majikan yang tidak beratnggungjawab membuktikan mereka memanipulasi atau mengambil kesempatan daripada pelaksanaan PKP atau PKPB untuk kepentingan diri,” katanya.
#Aidilfitri
#Astro
#Astro Awani
#hari raya
#kerajaan
#Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia
#koronavirus
#Malaysia
#menteri
#MTUC
#Persekutuan Majikan Malaysia
#PKP
#PKPB