Hentikan isu sumbangan kepada sekolah - Fadhlina

Bernama
Julai 30, 2024 10:15 MYT
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tengah) bercakap kepada pemberita semasa sidang media pada Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di Dewan Sri Siantan, hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta semua pihak menghormati keputusan Jemaah Menteri yang mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah.
"Saya fikir sudah cukup dengan penegasan dibuat keputusan Jemaah Menteri...saya tidak fikir ada lagi isu berbangkit, kita kekal dengan penegasan tersebut.
"Keputusan itu terbaik untuk semua, kita dah boleh hentikan isu ini dan berikan tumpuan kepada perkara yang lebih penting," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan garis panduan sedia ada bagi penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.
Menurut kenyataan itu, antara garis panduan tersebut menggariskan aktiviti sumbangan dana kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.
KPM memaklumkan mesyuarat itu juga mengambil pendirian untuk memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana menerusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan yayasan sepertimana diamalkan sejak pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Sebelum itu, isu berhubung sumbangan kepada sekolah timbul susulan konsert amal di sebuah sekolah Cina di Sepang baru-baru ini dilaporkan melibatkan penajaan dan sumbangan syarikat minuman keras.
-- BERNAMA
#sumbangan kepada sekolah #Fadhlina Sidek #Kementerian Pendidikan #garis panduan #jemaah menteri