Hentikan fitnah pertuduhan bermotifkan dendam
Surat Pembaca
Januari 24, 2022 19:15 MYT
Januari 24, 2022 19:15 MYT
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menuduh dua individu, termasuk seorang setiausaha politik atas tiga pertuduhan bersubahat meminta wang rasuah bernilai RM55,000 sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan berkaitan pekerja asing kepada Jabatan Imigresen.
Usaha SPRM untuk mendapatkan izin mendakwa daripada Pejabat Pegum Negara (AGC) untuk menuduh kedua-dua individu berkenaan sepatutnya dipuji namun ada pihak yang melihatnya sebagai tindakan bermotifkan dendam peribadi dan salah guna kuasa.
Adakah tindakan untuk menuduh individu yang dipercayai melakukan kesalahan selepas siasatan dijalankan disifatkan sebagai dendam dan salah guna kuasa?
Masyarakat atau mana-mana individu boleh melihat semula atau menyemak ‘track record’ SPRM yang jelas membuktikan sesiapa sahaja akan disiasat oleh SPRM malah dituduh atas kebenaran AGC sekiranya didapati terlibat dalam siasatan kes rasuah berdasarkan hasil siasatan dan bukti.
Tohmahan menyatakan SPRM telah menyalahgunakan kuasa sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap suruhanjaya itu adalah tidak wajar kerana orang ramai, termasuk golongan pemimpin sepatutnya menyokong SPRM dan ikhlas dalam usaha memerangi rasuah.
Jika melihat kembali kepada kes-kes yang disiasat oleh SPRM sebelum ini, suruhanjaya tersebut tidak pernah menunduk atau akur kepada arahan mana-mana individu atau pihak tertentu kerana suruhanjaya itu adalah bebas daripada campur tangan mana-mana pihak.
Berpandukan sistem pengasingan kuasa di negara ini, suruhanjaya tersebut hanya berkuasa untuk menjalankan siasatan manakala keputusan untuk pendakwaan di mahkamah pula bergantung kepada AGC.
Justeru, semua pihak perlu mengetahui dan menghormati fungsi SPRM sebagai agensi yang hanya berkuasa untuk menjalankan siasatan berkaitan kes-kes rasuah dan tidak berkuasa dalam membuat sebarang keputusan dari segi pendakwaan.
Oleh yang demikian, tidak timbul isu atau tohmahan berkaitan konspirasi, dendam atau salah guna kuasa kerana setiap siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan bukti dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Perlu ingat bahawa sistem di negara ini adalah berdasarkan eksekutif, legislatif dan kehakiman, dalam hal ini, biar mahkamah yang menentukan sama ada untuk menjatuhkan hukuman atau sebaliknya dan jangan menyalahkan SPRM yang tidak berkuasa dalam bidang tersebut.
Tidak kira mana-mana individu, setiap proses undang-undang perlu dipatuhi dan sekiranya tidak bersalah, buktikan di mahkamah bagi membersihkan nama diri sendiri.
Harizal Long
Sg. Buloh, Selangor