'Hentikan fitnah, Pas Dungun tak pecat imam masjid'

Sharom Abu Bakar
Mei 13, 2018 18:31 MYT
Mohd Syahir (dua, kiri) memegang laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dungun pada jam 10 pagi tadi. - Astro AWANI
Dakwaan kerajaan Pas Terengganu memecat imam masjid yang dilantik kerajaan Barisan Nasional, yang tular di media sosial, adalah fitnah.
Setiausaha Pemuda Pas Kawasan Dungun, Mohd Syahir Radin, berkata mesej disebarkan individu yang mendakwa bapanya, seorang imam masjid, dipecat sehari selepas Pas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menerusi aplikasi WhatsApp sejak 10 Mei lalu.
Sehubungan itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Dungun kira-kira jam 10 pagi tadi.
"Dengan laporan ini, kita mengharapkan fitnah yang diviralkan ini dapat dihentikan dan saya menasihatkan selepas ini tidak berlaku lagi. Saya seru kepada mana-mana pihak yang mahu memfitnah kita, kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh Pas ini, untuk tidak lagi menyambung fitnah ataupun membuat fitnah baru.
"Baru-baru ini pun, ada yang menyatakan kita telah mengunci Tabika Kemas, itu juga kita dah buat laporan polis. Ini juga satu fitnah baru yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab, sama seperti dakwaan kita memecat imam di Dungun ini," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis bersama anggota Dewan Pemuda Pas Dungun pada Ahad.
Menurut Mohd Syahir, individu yang menyebarkan mesej palsu itu bertujuan memburukkan kerajaan Pas Terengganu.
Katanya, perbuatan itu juga bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Menteri Besar, Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pada PRU14, Pas berjaya membentuk kerajaan selepas menguasai 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala bakinya dimenangi Barisan Nasional.
#Dungun #kerajaan pas #kerajaan terengganu #pas dungun #Pas Terengganu #pecat imam #Tabika Kemas
;