Hentikan buli siber dalam media sosial
Astro Awani
April 11, 2021 12:19 MYT
April 11, 2021 12:19 MYT
DAHULUNYA, perbuatan membuli ‘tradisional’ berlaku dalam bentuk fizikal sehingga mencederakan mangsa namun kini perbuatan membuli alaf baharu lebih tertumpu kepada bentuk pembulian menerusi siber seperti media sosial sehingga mendatangkan kesan yang buruk terhadap individu yang dibuli.
Perlu difahami bahawa tindakan buli siber bukan sahaja melibatkan penggunaan perkataan kesat, makian, kecaman dan cemuhan terhadap mangsa malah juga melibatkan tindakan-tindakan lain seperti sengaja mewujudkan dan menyebarkan fitnah berkaitan mangsa, menyamar dengan identiti palsu dalam media sosial semata-mata untuk menjatuhkan maruah mangsa, dan menyebarkan perkara-perkara privasi seperti gambar dan video mangsa tanpa kebenaran dengan tujuan buruk seperti memalukan mangsa.
Buli siber dalam media sosial ini kesannya lebih buruk dari buli tradisional kerana sifat media sosial itu sendiri yang tanpa batasan dan pantas untuk tersebar. Bayangkan, satu video berkenaan mangsa yang dibuli menerusi media sosial misalnya boleh dikecam oleh mana-mana individu dari mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sahaja.
Antara kesan-kesan negatif buli siber terhadap mangsa termasuklah seperti menjatuhkan imej dan reputasi, menjejaskan kesihatan mental, mengancam keselamatan dan sebagainya.
Kesan buli siber menerusi media sosial yang berleluasa ini juga dikatakan mampu mempengaruhi tindakan drastik mangsa seperti tindakan mengasingkan diri dan lebih parah lagi tindakan bunuh diri akibat tekanan melampau dan rasa malu.
Misalnya pada tahun lalu, akhbar tempatan di Malaysia pernah melaporkan kisah tragik dan dukacita mengenai seorang mangsa buli siber yang telah membunuh diri akibat video tiktoknya bersama rakan sekerja menerima kecaman dan cemuhan teruk dalam media sosial.
Kejadian seperti ini telah mewujudkan satu terma hibrid yang dinamakan sebagai “bullycide” iaitu tindakan mangsa khususnya golongan muda yang membunuh diri akibat daripada kesan buli siber.
Perkara yang membimbangkan adalah kebanyakan mereka yang terlibat dalam tingkah laku buli siber dalam media sosial adalah juga dalam kalangan golongan muda itu sendiri.
Harus diketahui, buli siber ini sebenarnya adalah perkara yang amat serius dan bercanggah dengan prinsip asas hak asasi seseorang manusia untuk hidup secara bebas dan bermaruah.
Pencabulan hak terhadap seseorang manusia itu berlaku apabila pembuli sewenang-wenangnya menghentam dan memalukan individu lain dalam media sosial sehingga mencalarkan maruah mangsa.
Malah, aktiviti siber buli juga amat bercanggah dengan pencapaian matlamat pembangunan lestari (SDGs) 2030 yang jelas menolak keganasan dan mempromosikan kehidupan yang harmoni dan sejahtera.
Contoh kes buli siber terkini adalah melibatkan seorang penyanyi di Malaysia yang juga boleh disifatkan sebagai buli siber kerana dihentam netizen hanya kerana kesilapan beliau dalam menyanyi di sebuah pentas besar muzik.
Ironinya, mereka yang terlibat dalam aktiviti buli siber dalam media sosial ini sama ada berkongsikan terus atau turut sama menghentam dalam ruangan komen ini sering menggunakan label “bergurau” atau “suka-suka”.
Perkara inilah yang perlu diubah dalam mentaliti dan budaya pemikiran masyarakat bahawa istilah gurauan itu tidak terpakai jika ia boleh mendatangkan kemudaratan ke atas orang lain.
Dengan erti kata yang mudah, pengguna media sosial perlulah membuat refleksi diri sebelum sewenang-wenangnya menghentam orang lain. Bayangkan jika perkara yang sama berlaku pada diri sendiri, ahli keluarga atau sahabat terdekat kita? Adakah kita boleh menerima gurauan oleh pembuli ini?
Dalam usaha membanteras masalah buli siber ini, komunikasi dan pendidikan boleh menjadi alat yang penting dalam kalangan masyarakat.
Misalnya, informasi tentang bahaya buli siber dan kesannya terhadap mangsa dan keluarga mereka perlulah dikomunikasikan kepada masyarakat dengan lebih kerap menerusi program seperti kempen agar kesedaran dapat ditingkatkan.
Lebih penting lagi, informasi tentang bantuan kaunseling dan pihak yang boleh dirujuk sekiranya seseorang menjadi mangsa buli siber juga perlu dikomunikasi dari semasa ke semasa. Ianya juga dapat membantu keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang menjadi mangsa buli siber.
Komunikasi antara personal antara ahli keluarga dan rakan terdekat bersama mangsa juga amat penting terutamanya dalam mendengar masalah mangsa dan memberikan sokongan moral kepada mereka bagi mendepani situasi buli siber yang berlaku kerana isu siber buli ini tidak seharusnya ditangani secara individu.
Masalah buli siber yang dihadapi mangsa akan menjadi semakin serius sekiranya mereka menghadapinya secara bersendirian tanpa sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan.
Hakikatnya, kewujudan media sosial dan teknologi sebenarnya membawa banyak kebaikan khususnya memudahkan interaksi dan komunikasi maya antara manusia tanpa batasan geografi. Namun, ianya boleh disalahgunakan seperti tindakan buli siber ini. Justeru, jadilah pengguna media sosial dan teknologi yang bijak dan memanfaatkannya ke arah yang positif!
* Penulis ialah Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh, Pengerusi Rancangan Prasiswazah, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia
** Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
#buli siber
#media sosial
#fitnah
#menyamar
#identiti palsu
#maruah
#mangsa
#privasi
#Kolumnis AWANI