"Hentikan budaya pemberian cenderahati" - PM

Nickyson Nyambar
Disember 1, 2022 20:14 MYT
Selain menolak pemberian cenderahati, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan supaya tiada perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya dalam tempoh beliau memegang jawatan itu. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak sebarang pemberian cenderahati kepadanya.
Menurut beliau, budaya itu tidak bersesuaian dengan keadaan semasa negara.
"Saya ingin mengingatkan semua pihak agar tidak memberi sebarang cenderahati kepada saya dan budaya ini mesti dihentikan.
"Saya hargai niat baik saudara saudari semua tetapi ini tidak bersesuaian dengan etika pengurusan dan pimpinan serta ia membebankan rakyat," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun sebelum ini turut menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi Perdana Menteri kerana tidak mahukan sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atas dirinya.
Katanya, perolehan bagi kereta Mercedes S600 itu menerusi Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempat dibatalkan setelah semakan dibuat oleh pihaknya.
Jelasnya, ini kerana beliau ingin mewujudkan budaya tidak membazirkan dana kerajaan sebagaimana amalan pentadbiran terdahulu.
Tambahnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, beliau lebih selesa dengan hanya menggunakan kereta jenis Toyota Camry serta kenderaan sedia ada untuk segala urusan.
#Pemberian Cenderahati #Perdana Menteri #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Ahli Parlimen Tambun #PM10
;