Hentikan birokrasi, mudahkan rakyat bertemu pemimpin

Ridauddin Daud
September 13, 2021 13:32 MYT
Menurut Fahami Ashrof, jika Ahli Parlimen mendengar titah Seri Paduka Baginda dengan terbuka dan seterusnya berkhidmat kepada masyarakat, tiada masyarakat yang akan tertinggal dalam RMK12. - Facebook / Fahamiashrof
KUALA LUMPUR: Segala bentuk birokrasi perlu diketepikan bagi memudahkan rakyat bertemu dengan pemimpin yang mewakili dan membawa suara mereka di Dewan Rakyat.
Ketua Aktivis Majlis Belia Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, berpandukan konsep Keluarga Malaysia, semua birokrasi tersebut harus dihentikan dan membuka ruang lebih terbuka untuk rakyat bertemu pemimpin mereka.
Tambahnya, keterbukaan itu adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Isnin.
BACA: Jangan pertaruhkan masa depan negara, rakyat - Pesan Agong kepada ahli politik
“Sebagai seorang aktivis, kita melihat sebelum ini kalau sesuatu permohonan itu harus dilakukan melalui.. kena dapatkan surat sokongan daripada ketua kampung.. daripada penghulu.
“Perkara ini sudah pastinya pada ketika ini, tidak perlu lagi ada birokrasi untuk dapatkan tandatangan pegawai perkhidmatan awam tertinggi atau ketua kampung.
Dasar jangka sederhana dan panjang turut diperkenalkan dalam RMK-12
“Ini kerana perkara ini melemahkan atau membantutkan golongan di luar bandar untuk bertemu secara dekat atau secara terus dengan ahli-ahli Yang Berhormat tersebut,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI Khas pada Isnin.
Tegasnya, sekiranya Ahli Parlimen mendengar titah Seri Paduka Baginda dengan terbuka dan seterusnya berkhidmat kepada masyarakat, beliau berpendapat tiada masyarakat yang akan tertinggal dalam pembangunan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan wakil rakyat dan semua agensi kerajaan perlu bertindak proaktif dengan turun padang untuk meninjau dan menyelami isu rakyat secara lebih dekat.
Tiga pantun pesanan daripada YDP Agong untuk semua Ahli Dewan Rakyat
Seri Paduka Baginda turut bertitah supaya kerajaan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara bagi pembentukan ekosistem digital yang lebih baik.
Dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah mengingatkan ahli politik supaya tidak sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.
Titah Seri Paduka Baginda, lebih setahun berlalu, negara masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik dan menyebabkan rakyat dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam.
Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.
#birokrasi #Yang di-Pertuan Agong #Dewan Rakyat #Parlimen
;