Hentikan amalan tambahan kos 30 peratus oleh kontraktor

Sinar Harian
Julai 10, 2024 09:56 MYT
Tan Hong Pin berkata, kontraktor mengaut untung apabila membekalkan barangan mengikut harga pasaran dan kerajaan tidak harus membenarkan tambahan 30 peratus atas harga barangan. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperbaiki prosedur pelantikan dan menamatkan amalan kontraktor menambah kos 30 peratus di atas harga pasaran.
Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin berkata, kontraktor mengaut untung apabila membekalkan barangan mengikut harga pasaran dan kerajaan tidak harus membenarkan tambahan 30 peratus atas harga barangan.
Justeru, beliau menuntut agar kerajaan memperbaiki prosedur pelantikan kontraktor dan memastikan semua yang dilantik mempunyai kemampuan untuk membekalkan barangan dengan harga berpatutan.
"Ini adalah satu kerugian yang besar jika 30 peratus daripada peruntukan sebanyak RM3.5 juta yang diberikan kepada setiap ahli Parlimen setiap tahun dibelanjakan sebagai 'untung buta' kepada kontraktor.
"Kita akan mengalami kerugian melebihi RM200 juta setiap tahun. Jumlah ini boleh digunakan untuk melaksanakan banyak program yang bermanfaat kepada rakyat Malaysia.
"Kita perlu mengambil langkah yang lebih tegas untuk menamatkan pembaziran dan penyalahgunaan dana awam, memastikan setiap sen dana digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membangun infrastruktur negara, bukannya hilang dengan amalan yang tidak wajar," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sesi perbahasan mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Parlimen telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 pada minggu lepas yang memperluas tugas dan kuasa Ketua Audit Negara.
Pindaan ini memberi Ketua Audit Negara kuasa untuk menyiasat dan memeriksa mana-mana badan yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016, termasuk syarikat yang menerima jaminan kewangan daripada kerajaan Persekutuan atau negeri.
Hong Pin yang juga wakil rakyat DAP menambah, ia adalah satu isyarat yang kuat bahawa tiada sesiapa pun boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika ada penyalahgunaan kuasa.
"Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun mengenalpasti kecuaian, kelemahan dan kerugian di pelbagai agensi kerajaan. Walaupun laporan mengandungi cadangan, tidak semestinya ia akan diterima atau dilaksanakan.
"Tambahan pula, Laporan Ketua Audit Negara tidak mengemaskini kemajuan terkini dalam memperbaiki isu-isu yang dibangkitkan pada tahun-tahun sebelumnya. Ini menyebabkan rakyat tidak yakin bahawa kerajaan benar-benar komited dalam melawan rasuah," jelasnya. - Sinar Harian
#komisen kontraktor #untung atas angin #Dewan Rakyat #projek kerajaan