Hentikan amalan sakau wang rakyat, kayakan diri dan kelompok kecil - PM Anwar

Ridauddin Daud
Mei 21, 2024 22:12 MYT
Perdana Menteri menegaskan negara akan dapat keberkatan sekiranya amalan ‘menyakau’ wang rakyat, mengkayakan diri sendiri dan kelompok kecil dapat dihentikan segera.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri menegaskan negara akan dapat keberkatan sekiranya amalan ‘menyakau’ wang rakyat, mengkayakan diri sendiri dan kelompok kecil dapat dihentikan segera.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan mewarisi negara dalam keadaan sukar, termasuk hutang negara yang tinggi dan kenyataan itu seolah-olah cuba dipadamkan sesetengah pihak.
Mengambil contoh pungutan cukai, tegasnya, setiap satu ringgit pungutan cukai, kira-kira 16 sen daripadanya adalah untuk membayar faedah hutang.
Tegasnya, itu belum mengambil kira pokok hutang yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
“Mahu diselesaikan dalam tempoh setahun, mustahil. Tapi kalau ada dasar yang jelas, komitmen jelas, menghentikan amalan menyakau wang rakyat dan mengkayakan diri dan kelompok kecil... insya-Allah kita akan dapat keberkatan.
“Dalam kegalauan ekonomi, setiap tindakan kerajaan amat berharga dalam membela nasib dan kebebasan majoriti rakyat.
“Inilah yang ingin saya tekankan, keperluan kefahaman rakyat untuk kita hentikan amalan merompak hasil negara untuk kekayaan golongan kecil,” katanya.
Tegas Perdana Menteri, beliau boleh saja menambah hutang baharu namun beliau memilih untuk tidak berbuat demikian kerana kesannya adalah kepada generasi akan datang.
“Anak-anak muda harus tahu setiap langkah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, boros, rasuah dan belanja ikut nafsu serakah, akan membebankan generasi berikutnya.
“Sebab itu, kebertanggungjawaban dalam sistem kewangan itu penting termasuk reformasi percukaian supaya tidak membebankan tetapi bersifat progresif.
“Maknanya, cukai dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi , ditarik subsidi dari golongan kaya tetapi tidak membebankan rakyat terbanyak sama ada B40 dan M40,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Negara Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI pada Selasa.
#Anwar Ibrahim #subsidi diesel #Rasuah #Kerajaan Perpaduan #subsidi
;