Hentikan amalan khurafat, elak berlaku bala lagi di Gunung Jerai - Idris Ahmad

Abd Hadi Che Awang
September 11, 2021 14:12 MYT
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad pada sidang media sempena Program Sumbangan Musa'adah Bencana Banjir di Titi Hayun hari ini.- Foto BERNAMA
YAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad menasihati semua pihak agar dapat menghentikan amalan khurafat serta aktiviti pemujaan di beberapa kawasan di Gunung Jerai memandangkan ianya amat bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
Menurutnya, perbuatan itu bukan sahaja boleh merosakkan akidah seseorang malah berkemungkinan menjadi punca kepada berlakunya kejadian bencana atau bala di satu-satu lokasi.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa Pejabat Agama Daerah serta Majlis Agama Islam Negeri Kedah telah dan akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi mengelakkan amalan itu dari terus berlaku dan berleluasa dalam kalangan masyarakat.
Idris turut menyifatkan peranan besar juga telah dimainkan guru-guru agama, dan alim ulama di Kedah sebelum ini dalam memastikan masyarakat faham akan kesan perbuatan khurafat dan pemujaan.
"Kita harapkan benda ini terhenti, ini kerana bila datangnya bala Allah, dia tak kena pada orang yang buat itu sahaja, dia datang bala semua kena.
"Sebab itu ada sahabat tanya Nabi, dia tanya adakah orang baik akan kena kalau datang bala? Nabi kata ya, termasuk juga kamu, cuma esok kamu akan dibangkitkan, berdasarkan kepada niat mereka maksudnya orang baik akan dibangkitkan dalam keadaan baik, manakala orang yang buat benda tidak baik, mereka itu akan menerima hukuman," katanya ketika sidang media selepas melakukan tinjauan kesan kejadian kepala air di Titi Hayun, di sini pada Sabtu.
Kejadian kepala air dan banjir lumpur pada 18 Ogos lalu, telah mengakibatkan beberapa kawasan di kaki Gunung Jerai termasuk Titi Hayun, Tupah, Seri Perigi dan Batu Hampar dilanda banjir lumpur dan tanah runtuh.
Kejadian itu mengorbankan enam mangsa manakala seorang lagi terselamat.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Idris menyatakan bahawa bermungkinan besar bilangan jemaah yang dibenarkan memasuki masjid akan ditambah dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, pihaknya akan mengadakan perbincangan dalam menentukan prosedur operasi standard (SOP) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ia sebelum ianya dipanjangkan bagi mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan Sultan sebagai ketua agama negeri masing-masing.
#Tragedi Gunung Jerai #Titi Hayun #Idris Ahmad #amalan khurafat
;