Hentikan amalan isytihar cuti umum untuk PRK - Gan Ping Sieu
Astro Awani
Mei 1, 2015 10:52 MYT
Mei 1, 2015 10:52 MYT
Presiden Bersama Centre For A Better Tomorrow (CENBET) Gan Ping Sieu hari ini menggesa kerajaan negeri untuk menghentikan amalan mengisytiharkan cuti umum sempena pilihan raya kecil.
"Ia jelas satu penyalahgunaan kuasa dan rasuah politik," katanya dalam satu kenyataan.
"Ini adalah pengumuman bersifat populis dengan motif politik. Ia menunjukkan satu tadbir urus yang buruk dan boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk rasuah politik, "katanya lagi.
Gan yang juga Naib Presiden MCA berkata dalam kes PRK Rompin dan Permatang Pauh kebanyakan pengundi bekerja di luar kawasan.
Rompin memiliki lebih kurang 53,000 pengundi dengan anggaran sebanyak 3.8% daripada keseluruhan penduduk Pahang yang berjumlah 1.4 juta.
Di Permatang Pauh pula, terdapat lebih kurang 71,000 pengundi dengan anggaran sebanyak 4.4% daripada keseluruhan penduduk Pulau Pinang yang berjumlah 1.6 juta.
"Ini bermakna, lebih daripada majoriti rakyat yang menikmati cuti umum tersebut bukannya pengundi," katanya.
Majikan terpaksa menurut pengumuman tersebut atau mungkin berdepan tindakan denda berjumlah RM5,000 atau penjara selama setahun di bawah Seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya
"Mengisytiharkan cuti umum sedangkan negara mempunyai jumlah cuti umum antara yang terbanyak di dunia adalah sesuatu yang tidak produktif. Ia memberikan kesan kepada produktiviti dan ekonomi," tambahnya.
Katanya amalan tersebut tidak bertepatan dengan asas urus tadbir yang baik.