Hentikan aktiviti benarkan buka pelitup muka - Pakar kesihatan
Astro Awani
April 27, 2021 18:18 MYT
April 27, 2021 18:18 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menghentikan serta-merta aktiviti melibatkan keramaian atau jamuan yang membenarkan pelitup muka dibuka bagi membolehkan kes jangkitan COVID-19 diturunkan.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman berkata, dalam masa sama, aktiviti yang mengekalkan pemakaian pelitup muka seperti solat berjemaah, membeli-belah dan aktiviti ekonomi tidak menyumbang peningkatan kes jangkitan.
Jelasnya, aktiviti kunjung-mengunjung juga boleh diadakan namun perlu dihadkan mengikut kapasiti luas kediaman.
"Ia bergantung kepada penilaian risiko semasa, sekiranya banyak zon merah di suatu tempat, saya berpendapat kalau boleh kemungkinan aktiviti rentas daerah mungkin boleh dikenakan sekatan tetapi ia bergantung kes-kes yang dilaporkan pada pola kes-kes semasa.
"Sebenarnya saya sangat mengharapkan jika aktiviti-aktiviti yang melibatkan peningkatan kes ini dapat dilakukan pencegahnnya mulai sekarang bagi membolehkan kes dapat diturunkan dan kelonggaran dapat dilaksanakan semasa musim hari raya nanti," katanya semasa sidang video pada Selasa.
Dalam pada itu kata Dr Malina, waktu operasi bazar Ramadan perlu dipendekkan dan prosedur operasi standart (SOP) di lokaliti berkenaan perlu diperketatkan.
Ia termasuk memberi nombor kepada pengunjung, sentiasa memakai pelitup muka dan larangan untuk warga emas serta kanak-kanak ke bazar Ramadan.