Hentian bas, laluan pejalan kaki di Lembah Klang akan dinaik taraf - Rafizi

Astro Awani
Ogos 14, 2024 07:57 MYT
Rafizi berkata kerajaan menyasarkan penambahbaikan tiga aspek utama dalam pengangkutan awam iaitu perkhidmatan bas, rangkaian rel, dan ketersambungan ‘first and last mile’. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Pelan secara komprehensif sedang dijalankan untuk meningkatkan pengangkutan awam di Malaysia, dengan penekanan khusus kepada menambah baik kesalinghubungan di Lembah Klang.

Ringkasan AI
  • Perkhidmatan Bas:Fokus pada pengembangan ketersambungan dan liputan bas. Pelaburan untuk memperluaskan lorong khas bas di seluruh Kuala Lumpur. Pertimbangan pengenalan Bus Rapid Transit (BRT) di bahagian yang sesuai.
  • Rangkaian Rel: Perluasan rangkaian rel untuk meningkatkan perkhidmatan dan pengalaman penumpang.
  • Ketersambungan -First and Last Mile-: Peningkatan hentian bas dan laluan pejalan kaki. Pengenalan Demand-Responsive Transit (DRT) dan pilihan mikromobiliti untuk ketersambungan yang lebih lancar dan cekap.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan menyasarkan penambahbaikan tiga aspek utama dalam pengangkutan awam iaitu perkhidmatan bas, rangkaian rel, dan ketersambungan ‘first and last mile’.
"Untuk perkhidmatan bas, usaha akan meliputi pengembangan ketersambungan dan liputan, peningkatan ketersediaan dan konsistensi, dan mempertimbangkan untuk meluaskan lagi lorong khas sedia ada.
"Sekarang ini ada yang telah melalui projek rintis meliputi beberapa laluan utama. Jadi pelaburan akan datang adalah untuk menskalakan lorong-lorong khas bas ini di seluruh Kuala Lumpur.
"Ini juga termasuk kita melihat secara bersepadu bagaimana rangkaian itu dapat ditingkatkan dengan mempertimbangkan sama ada Bus Rapid Transit (BRT) di beberapa bahagian bersesuaian.
"Kalau ada keperluan dan kena dengan jumlah komitmen kewangan yang diperlukan, bagaimana kita boleh melengkapkan lagi rangkaian sedia ada MRT, LRT dan bas dengan juga mempertimbangkan Autonomous Rail Transit (KL ART)," katanya dalam sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini pada Rabu.
Selain itu, Rafizi berkata rangkaian rel akan diperluas untuk meningkatkan perkhidmatan dan mempertingkatkan pengalaman penumpang.
Dalam masa sama, katanya kerajaan akan menaik taraf hentian bas, laluan pejalan kaki, serta memperkenalkan Demand-Responsive Transit (DRT), perancang perjalanan bersepadu, serta pilihan mikromobiliti bagi memastikan ketersambungan yang lebih lancar dan cekap.
Rafizi menambah kerajaan juga komited untuk mencapai sasaran telah ditetapkan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019 - 2030 iaitu 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2030.
"Bagi mencapai 80 peratus penggunaan landasan keretapi di Semenanjung Malaysia menjelang 2030, kerajaan merangka rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan tren penumpang di Malaysia secara berfasa antara 2024 hingga 2030 dan mensasarkan jumlah tren penumpang yang beroperasi di seluruh negara mencapai 299 tren penumpang berbanding 68 tren, ketika ini.
"Inisiatif-inisiatif yang telah dikenal pasti dalam pelan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, memastikan pendekatan yang teratur, selaras dengan matlamat ekonomi dan pembangunan negara," katanya.
#Rafizi Ramli #pengangkutan awam #Lembah Klang #dinaik taraf #Anthony Loke #Kuala Lumpur