Henti viralkan wanita berhijab hisap vape
Rahimah Abdullah
November 8, 2015 07:35 MYT
November 8, 2015 07:35 MYT
Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menggesa orang ramai menghentikan perbuatan menyebar gambar dan video wanita bertudung menghisap vape yang kini 'viral' di laman sosial.
Jelasnya, perbuatan wanita berhijab itu sudah dilihat sebagai kurang manis, namun, tindakan menyebarkan videonya hanya akan memburukkan nama Malaysia yang dikenali dengat adab dan resam budaya tinggi.
"Tidak manis wanita (bertudung hisap vape), sebab banyak juga apabila saya melihat daripada komen-komen itu daripada ayah yang ada anak gadis mereka juga khuatir apabila perkara itu jadi budaya di Malaysia.
"Memang betul sebagaimana Perdana Menteri Kanada bercakap, sekarang 2015 ia sudah berubah, tetapi kita masih bertunjangkan budaya dan adat resam yang baik," katanya ketika ditemui pada sidang selepas majlis perasmian Persidangan Kepimpinan Wanita Muda ASEAN di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, orang ramai tidak sepatutnya terus menghukum mereka, sebaliknya memberi mereka peluang untuk tidak melakukan perkara itu lagi.
"Tidak perlu lagi kita memperbesarkan lagi isu ini. Ya, memang ia (wanita berhijab hisap vape) tidak manis kelakuan begitu. Saya rasa mereka yang terlibat mungkin apabila mendapat kecaman sudah berubah. Kita jangan menghukum. Saya rasa lebih molek kalau tidak lagi di'viral'kan," tegas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu.
Justeru, beliau menasihatkan golongan wanita muda terutamanya agar lebih sensitif dan tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan imej diri sendiri dan negara.
"Itu (hisap vape) hak masing-masing. Namun, kita sebagai wanita muda seharusnya lebih tahu apabila datang dari Malaysia, kita ada berakar umbikan adat resam dan budaya Malaysia patut lebih sensitif dengan keadaan sekeliling. Saya yakin dan percaya wanita muda di Malaysia boleh menerima keadaan itu,"
Vape bukan sahaja terkenal dalam kalangan kaum lelaki, namun ia turut menjadi 'kegemaran' bagi remaja perempuan dan wanita.
Malah, gambar aksi mereka menghisap vape semakin viral di laman sosial dan banyak mendapat kecaman pelbagai pihak.