Henti tular video tiga beradik maut akibat renjatan elektrik - MCMC

Bernama
Disember 19, 2022 19:58 MYT
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia nasihat orang ramai berhenti tularkan video tiga beradik maut dipercayai terkena renjatan elektrik bagi menghormati mangsa dan privasi keluarga.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihati orang ramai untuk berhenti menularkan video tiga beradik maut dipercayai terkena renjatan elektrik di rumah mereka yang dilanda banjir di Kelantan hari ini, bagi menghormati mangsa dan privasi keluarga.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan, langkah itu bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden berkenaan.
Dalam masa sama, MCMC berkata pihaknya juga telah mengambil langkah proaktif mengangkat perkara berkenaan untuk perhatian dan tindakan selanjutnya oleh penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video berkaitan.
Suruhanjaya itu turut menasihatkan pengguna media sosial untuk membuat laporan secara terus terhadap kandungan sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform.
Ketiga-tiga mangsa Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27; Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33, dilapor meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira 11.30 pagi tadi ketika berjalan kaki mengharungi banjir di rumah mereka di Kampung Bendang Surau dekat Morak di Kota Bharu. - BERNAMA
#MCMC #video tiga beradik #renjatan elektrik #banjir di Kelantan
;