Henti tugas LRA Sungai Selisek, lapan kawasan dijangka terjejas - Air Selangor
Bernama
Januari 3, 2021 05:19 MYT
Januari 3, 2021 05:19 MYT
KUALA LUMPUR: Lapan kawasan di Hulu Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek terpaksa dihenti tugas pada 5.40 petang semalam berikutan kenaikan air ke paras kritikal di muka sauk susulan hujan berterusan.
Ia melibatkan Kampung Sungai Nilam/Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli, Kampung Bahom, Kampung Sekolah/Kuarters Klinik dan Kampung Gesir Tengah.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata jangkaan untuk LRA itu beroperasi semula tidak dapat dipastikan ketika ini kerana hujan belum berhenti dan paras air masih kritikal.
"Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan LRA berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutama yang melibatkan arus elektrik," menurutnya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan menerusi laman sesawang www.airselangor.com dan pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
-- BERNAMA
#loji rawatan air
#Hulu Selangor
#sekolah
#Orang Asli
#keselamatan
#bekalan air
#Elina Baseri
#Sungai Selisek
#LRA
#paras air
#kritikal
#Air Selangor
#hujan
#gangguan bekalan air
#henti tugas
#arus elektrik