Henti tugas LRA SSP1: Kerja-kerja penyenggaraan selesai, bekalan air mula disalurkan

Astro Awani
Oktober 14, 2021 09:08 MYT
Bekalan kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat mulai jam 5 petang ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) selesai jam 5 pagi tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga jam 6 pagi, sistem rawatan air di LRA SSP1 telah distabilkan.
"Bekalan air telah mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air. Bekalan kepada para pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat pada jam 5 petang 14 Okt 2021.
"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," katanya.
Sumber Facebook airselangor
Dalam pada itu, Air Selangor memberi jaminan pihaknya terus menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.
Untuk rekod, kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal LRA SSP1 bermula sejak 9 pagi semalam.
Sebelum ini, sebanyak 998 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor dilapor bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual sehingga 16 Okt ini.
#gangguan bekalan air #LRA Sungai Selangor #Air Selangor #penyenggaraan aset kritikal
;