Henti teroka tanah atau Cameron Highlands berdepan banjir lebih teruk - Pakar
Bernama
November 8, 2014 17:47 MYT
November 8, 2014 17:47 MYT
Penerokaan tanah yang berterusan di Cameron Highlands akan mengakibatkan kemungkinan ia berdepan tanah runtuh dan banjir lumpur lebih teruk pada masa akan datang, kata pakar geologi.
Pensyarah Geologi Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin berkata kerakusan peneroka menarah bukit untuk membangunkan ladang sayuran baharu hanya akan menyebabkan berlaku mendapan tanah yang berisiko menyebabkan tanah runtuh.
"Sekiranya hujan lebat berlaku, cerun bukit yang ditarah akan mula terhakis dan dengan empangan sedia ada yang tidak mampu lagi menampung kuantiti air yang banyak akan menyebabkan banjir lebih besar," katanya kepada Bernama bagi mengulas kejadian banjir lumpur di Cameron Highlands Rabu lepas.
Jelasnya, tanah di Cameron Highlands tidak lagi sesuai untuk aktiviti pertanian selepas kawasan tanah tinggi itu diteroka secara berleluasa tanpa sebarang kawalan.
Tambahnya, Cameron Highlands mempunyai tanah jenis granit yang bersifat gembur dan mudah terhakis sekiranya terdapat sebarang pemotongan mahupun penggunaan bahan kimia yang tinggi.
"Mereka (peneroka) tarah semua tanah untuk bangunkan ladang sayur di tanah baharu kerana tanah mereka yang sedia ada sudah tidak subur akibat penggunaan baja kimia yang merosakkan tanah.
"Ia dilakukan demi keuntungan tanpa memikirkan risiko penduduk sekitarnya dengan ancaman banjir lumpur dan tanah runtuh," katanya.
Justeru Tajul Anuar menyeru peneroka untuk mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada dengan menggunakan baja organik dan teknologi bakteria baik untuk menyuburkan semula tanah mereka.
Beliau juga meminta pihak berkuasa bertindak segera dengan menghentikan sebarang projek penerokaan dan menyita semua kawasan pertanian haram.
"Cameron Highlands merupakan ikon pelancongan negara dengan landscape muka bumi yang cantik serta udara sejuk. Kalau pihak berkuasa tidak ambil kisah akan aktiviti penarahan ini, siapa mahu datang? Identiti Cameron Highlands juga turut 'terhakis' sama," katanya.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.
Dalam kejadian itu, lima mangsa terkorban manakala lima lagi cedera serta turut menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru Ringlet dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.