'Henti simpang-siur politik, main isu kaum berlebihan' - PM Anwar seru bangunkan ekonomi negara

Astro Awani
Ogos 19, 2024 16:41 MYT
Anwar berkata kerajaan komited untuk membantu mana-mana kelompok yang ketinggalan di negara ini. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.9 peratus yang direkodkan pada suku kedua tahun 2024 adalah jauh lebih baik daripada kebanyakan negara di Asia, kata Perdana Menteri.

Ringkasan AI
  • Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.9% pada suku kedua 2024 adalah lebih baik daripada kebanyakan negara di Asia.
  • Pencapaian ini dicapai hasil kesepakatan antara Kerajaan Persekutuan, negeri, pihak swasta, dan rakyat jelata.
  • Kerajaan komited untuk membantu kelompok yang ketinggalan dan menggesa untuk menghentikan permainan politik dan isu perkauman.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pencapaian memberangsangkan itu diraih hasil kesepakatan semua termasuk Kerajaan Persekutuan, negeri, pihak swasta serta rakyat jelata.
Sehubungan itu, Anwar berkata kerajaan komited untuk membantu mana-mana kelompok yang ketinggalan di negara ini.
"Sudahlah... hentikanlah simpang-siur politik (terlalu bermain politik), (isu) kaum berlebihan, daerah dan wilayah. Kita cari penyelesaian.
"Tidak banyak negara yang capai kejayaan yang kita kecapi sekarang ini. Ia bukan urusan Perdana Menteri atau menteri kerajaan, negeri sahaja. Ini urusan semua pekerja termasuk nelayan, pekebun kecil, kerajaan dan swasta."
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Isnin.
Hadir sama merasmikan pelancaran tersebut ialah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
[TERKINI] Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035
Mengulas lanjut, Anwar turut menyentuh mengenai kebimbangan mengenai kadar inflasi Malaysia tetapi situasi dalam negara adalah lebih baik berbanding inflasi dicatatkan oleh Turkiye.
"Sebentar tadi, saya ada perbincangan dengan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Turkiye dan Menteri Pertahanannya mengenai kos sara hidup.
"Saya katakan inflasi Malaysia mengalami kenaikan dua hingga tiga peratus, inflasi makanan empat peratus.
"Namun saya dimaklumkan kadar inflasi Turkiye adalah 40 peratus, iaitu jauh lebih tinggi daripada negara kita," tambah Anwar.
#Anwar Ibrahim #pertumbuhan ekonomi Malaysia #Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 #PuTERA35