Henti segera provokasi perkauman - Khairy
Harits Asyraf Hasnan
September 19, 2015 17:02 MYT
September 19, 2015 17:02 MYT
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menggesa provokasi berunsur perkauman dihentikan segera.
Beliau berkata, kerajaan tidak mahu melihat unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum di negara ini wujud.
"Sudah pasti kalau ada apa-apa provokasi perkauman mestilah kita hentikan. Kita tidak mahu ada apa-apa ketegangan kaum sebagainya," katanya selepas merasmikan Jualan Hari Sukan Negara 2015 di sini, hari ini.
Mengulas pembabitan ahli Pemuda UMNO serta beberapa kepimpinan sayap itu, Khairy berkata tiada halangan untuk ahlinya menyertai mana-mana himpunan.
Bagaimanapun, Khairy menegaskan, jika terbukti ada pihak yang melanggar undang-undang, tindakan sewajarnya harus diambil.
"Selagi mereka tidak menyalahi undang-undang, kita tidak menghalang mereka untuk terlibat dalam mana-mana himpunan atau aktiviti....yang penting kalau sekiranya ada terbukti bahawa ada sesiapa yang melanggar undang-undang dan tindakan sewajarnya perlu diambil," katanya.
Beliau yang enggan mengulas lanjut berhubung insiden di Jalan Petaling pada 16 September lalu, mengarahkan polis menyiasat perkara tersebut.
Pada Jumaat, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya unsur perkauman yang sudah mula ditunjukkan di negara ini dihentikan segera bagi mengelakkan menjadi barah yang akan merosakkan keharmonian negara.
Katanya, sebagai sebuah negara yang sudah lama Merdeka, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku kerana Malaysia adalah milik semua kaum sebagai rakyat di negara ini.