Henti segera pencerobohan Sungai Ichat - Agong
Bernama
September 7, 2019 17:08 MYT
September 7, 2019 17:08 MYT
Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap isu alam sekitar tidak dapat dinafikan apabila baginda berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan haram Sungai Ichat di Kuala Terla di sini, hari ini.
Dalam kunjungan sulung ke tanah tinggi itu sejak ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah bertitah agar semua pihak menghentikan segera pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Terlom.
Al-Sultan Abdullah bertitah pencerobohan tanah itu menyebabkan Sungai Ichat yang merupakan satu daripada sumber air bagi Loji Air Kuala Terla selain Sungai Terla bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah berisiko memudaratkan orang ramai.
"Sungai Ichat ini satu sumber air yang diperlukan oleh kawasan persekitaran ini. Kalau itu (sungai) diracuni, mungkin tiada lagi sumber lain.
"Setakat ini kualiti sungai tidak baik dan sekarang kerajaan sedang dalam proses membersihkannya. Kita mahu mana-mana mereka yang menceroboh harus berhenti kerana akibat pencerobohan ini akan memudaratkan pihak tertentu," titah Seri Paduka kepada Bernama di sini, hari ini.
#Al-Sultan Abdullah
#Cameron Highlands
#Kuala Terla
#Mukim Ulu Terlom
#pencerobohan
#Sungai Ichat
#Yang di-Pertuan Agong