Henti sebarkan perkara tidak rasmi berkaitan atlet Malaysia ke Olimpik Paris 2024 - Hannah

Bernama
Julai 21, 2024 06:50 MYT
HANNAH YEOH: Saya tidak mahu apa-apa mengganggu kesihatan mental atlet kita dan persiapan mereka kerana saya percaya semua agensi terlibat telah melakukan yang terbaik untuk persiapan 26 atlet ini. -Gambar fail/Bernama
KUALA KUBU BHARU: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggesa semua pihak supaya menghentikan penyebaran poster atau perkara tidak rasmi di media sosial berhubung atlet negara yang akan bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau berkata ia bagi membolehkan atlet berada dalam keadaan fokus kepada persediaan mereka dan pada masa sama menjaga kesihatan mental 26 atlet negara yang dalam misi memburu pingat di temasya berprestij dunia itu.
"Saya tidak mahu apa-apa mengganggu kesihatan mental atlet kita dan persiapan mereka kerana saya percaya semua agensi terlibat telah melakukan yang terbaik untuk persiapan 26 atlet ini," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI-Satu Pemimpin Satu Kampung Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Kampung Orang Asli Buloh Telor, Kuala Kubur Bharu di sini hari ini.
Terdahulu, Hannah mengumumkan KBS telah memilih Kampung Orang Asli Buloh Telor sebagai Kampung Angkat sepanjang beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Beliau berkata keperluan dan isu sosioekonomi penduduk di kampung berkenaan dikenal pasti dan mencadangkan kaedah penyelesaian dalam aspek pendidikan, kemiskinan, kesihatan, infrastruktur dan sebagainya menerusi program itu.
"Antara inisiatif akan dilaksanakan bagi tahun ini adalah baik pulih gelanggang pelbagai guna untuk sukan sepak takraw dan badminton dengan anggaran peruntukan sebanyak RM50,000 hingga RM100,000.
"Manakala bagi 2025, KBS merancang untuk membaik pulih padang bola sepak dengan anggaran peruntukan sebanyak RM300,000 hingga RM400,000," katanya yang turut menyerahkan peralatan sukan seperti bola sepak dan badminton kepada belia di kampung berkenaan.
Hannah memaklumkan peralatan badminton itu ditaja dan ditandatangani oleh legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.
-- BERNAMA
#Hannah Yeoh #Sukan Olimpik Paris 2024 #atlet negara #Kementerian Belia dan Sukan