"Henti sebar video 'kubur berdarah'" - Rayuan Imam Masjid Al Irfan pada masyarakat

Adie Sufian Zulkefli
September 20, 2020 16:20 MYT
Foto dan video 'kubur berdarah' telah mengundang pelbagai tanda tanya dalam kalangan orang ramai. - Gambar Astro AWANI
Imam Masjid Al Irfan di Derga, di sini, Abdul Hadi Awang, 55, merayu kepada orang awam supaya menghentikan penyebaran video “kubur berdarah” seperti yang sedang tular di media sosial.
Menurutnya, seluruh jemaah masjid terkilan dengan penyebaran berita "kubur berdarah" itu kerana boleh mengundang pelbagai andaian selain mengaibkan jenazah berkenaan.
Katanya, dia juga berharap keluarga Allahyarham bersabar dan bertenang kerana perkara itu sudah menjadi kes polis.
Menceritakan keperibadian arwah, Abdul Hadi berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarham merupakan seorang yang berperibadi mulia dan sentiasa memberi sumbangan kepada khariah masjid.
Abdul Hadi berkata, Allahyarham meninggal dunia dan dikebumikan tiga minggu lalu pada usia 78 tahun akibat sakit tua.
Kata Abdul Hadi, ketika berkunjung ke tanah perkuburan berkenaan bagi memberi penghormatan kepada jenazahj tempoh hari, beliau dan rakan-rakan jemaah lain menyedari terdapat cecair merah di kubur sekitar pukul 11 pagi.
Namun begitu, Abdul Hadi tidak pula menyangka ada pihak yang meramkan kubur berkenaan dan menyebarkannya menerusi aplikasi mesej WhatsApp selain tular di media sosial lain beberapa jam kemudian.
“(Penyebaran video) mengaibkan keluarga jenazah itu sedangkan dia (Allahyarham) orang bagus, (seorang) cikgu, banyak buat kebajikan pada masjid ini. Pejabat agama kata perkara macam ini jangan cepat percaya (viral) mereka seronok (sebarkan),” kata Abdul Hadi.
Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat Setiausaha masjid berkenaan, Yahya Saad, malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Sheikh Ahmad Faisol Omar berkata, sehingga kini pihaknya sedang menunggu siasatan pihak polis sebelum mengulas lanjut mengenai isu terbabit.
Terdahulu, pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat berada di perkarangan tanah perkuburan itu untuk melakukan siasatan.
#Abdul Hadi Awang #Alor Setar #Derga #jenazah #kubur berdarah #laporan polis #Masjid Al Irfan #WhatsApp
;