Henti sebar, kongsi video mangsa pukul beramai-ramai hingga maut - MCMC
Astro Awani
Februari 23, 2024 10:00 MYT
Februari 23, 2024 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyeru orang ramai untuk tidak menyebarkan video seorang lelaki yang diikat dan dipukul hingga mati selepas terbabit dalam kemalangan dekat Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor, Selasa lalu.
Tegas MCMC, sebarang perkongsian yang melibatkan video atau kandungan melibatkan mangsa serta pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Video tersebut menunjukkan kekerasan yang berlaku terhadap seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan.
"Bagi menghormati keluarga mangsa, MCMC menggesa orang ramai untuk tidak menyebarkan video tersebut dan sekiranya telah dimuat naik, MCMC menasihatkan orang ramai untuk memadamkannya.
"Perkongsian rakaman video mangsa tidak hanya mengguris perasaan keluarga mangsa, malah melanggar prinsip dan etika asas dengan pengunaan grafik berkaitan kecelakaan, kemalangan dan kekerasan yang boleh menimbulkan kegelisahan penonton," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MCMC berkata, sebagai garis panduan berkenaan penciptaan kandungan, rujukan boleh dibuat melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Tambahnya, setiap individu perlu mempertimbangkan sewajarnya untuk tidak menyebarkan video atau kandungan yang berkaitan dengan insiden tersebut.
Media ini sebelum ini melaporkan seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dipukul hingga maut.
Kejadian itu berlaku selepas lelaki berusia 41 tahun terbabit yang memandu sebuah Proton Saga terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.