“Henti sebar fitnah mengenai abang saya” - Aufahanie beri peringatan pada penyebar cerita Nidza Afham

Astro Awani
Ogos 16, 2024 10:40 MYT
Aufahanie rasa kesal dan kecewa berhubung dakwaan tidak berasas seorang individu mengenai pemergian abang tercintanya, Allahyarham Muhammad Nidza Afham. - Gambar X @aufaamokhtar
KUALA LUMPUR: Penyanyi Aufahanie melepaskan rasa kesal dan kecewa dia serta seluruh keluarga berhubung dakwaan tidak berasas seorang individu mengenai pemergian abang tercintanya, Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar.
Menurut Aufahanie, dakwaan kononnya Nidza Afham meninggal dunia kerana berhadapan masalah cinta yang dimuat naik dalam ciapan di laman X individu itu disifatkan sebagai tuduhan yang tidak masuk akal.
Kekecewaan keluarga Aufahanie tambah berganda apabila penulis cerita tidak berasas mengenai Nidza Afham itu mengeluarkan kenyataan seolah-olah terlalu mengenali Allahyarham.
“Siapakah kamu untuk mengeluarkan statement seolah-olah kamu mengenali ABANG SAYA dan teman wanitanya dengan rapat? Kami semua sangat rapat dengan arwah dan juga teman wanitanya.
“Handphone arwah pada kami, di WhatsApp kami baca perancangan mereka untuk berkahwin, beberapa hari sebelum abang saya dimaklumkan hilang, pada hari Ahad mereka berdua baru sahaja pergi ke wedding fare.
“Mencari venue untuk teruskan perkahwinan. Kami SAKSI, bahawasanya mereka dalam keadaan yang baik, sedang bahagia bersama-sama,” tegas Aufahanie panjang lebar dalam ciapannya di X pada Jumaat.

Siapakah kamu untuk mengeluarkan statement seolah olah kamu mengenali ABANG SAYA dan teman wanitanya dengan rapat? Kami semua sangat rapat dengan Arwah dan juga teman wanitanya. Handphone arwah pada kami, di whatsapp kami baca perancangan mereka untuk berkahwin, beberapa hari https://t.co/EKDoAX1n04

— Aufa (@aufaamokhtar) August 15, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pada Khamis, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan kes kematian Nidza Afham diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) selepas punca kematian 'pending laboratory investigation' dan tiada lain-lain kecederaan fizikal.
Dalam masa sama pada itu, Aufahanie turut mempersoalkan tindakan individu tersebut menyebarkan berita tidak benar mengenai punca kematian Allahyarham Nidza Afham sedangkan keluarga masih menunggu keputusan dari hospital.
“Siapakah KAMU, untuk menyebarkan ketidakpastian tentang cara pemergian ABANG SAYA, sedangkan kami sekeluarga MASIH MENUNGGU keputusan yang pending dari pihak hospital.
“SIAPAKAH KAMU untuk membuat kenyataan tentang hubungan mereka yang sedang bermasalah? Siapakah KAMU?” ujarnya.
Dalam ciapan itu juga, Aufahanie, 21, memberi gambaran teman wanita arwah adiknya itu seorang yang sangat baik malah disebabkan wanita itu juga mereka sekeluarga mengetahui kehilangan Nidza Afham.
“Teman wanita abang saya sangat baik. Kalau bukan sebab dia, malam kejadian abang saya hilang, kami TAKKAN TAHU yang dia sudah hilang dan takkan tahu kemana nak cari dia.
“Allah temukan abang dan dia bersebab, sebagai pertolongan kepada kami dan juga arwah abang saya,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Aufahanie turut mencabar individu tersebut untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sekiranya dia mempunyai bukti yang kukuh.
“Padam ciapan anda, berhenti sebarkan spekulasi dan FITNAH terhadap arwah abang saya yang tercinta. Kami sekeluarga tidak reda dan tidak maafkan kenyataan yang dibuat oleh anda.
“Saya minta anda ke balai polis dan beri keterangan saksi bahawa anda MELIHAT DENGAN MATA anda dan ANDA SAKSI yang abang saya ambil nyawanya sendiri berserta dengan BUKTI.
“Jika tidak, sila padam tweet berunsur fitnah anda segera,” tegas Aufahanie lagi.
#Nidza Afham Mokhtar #Nidza Afham meninggal dunia #Aufahanie #hentikan fitnah
;