Henti sebar berita palsu banjir, ganggu frontliners jalan tugas - MCMC

Faris Danial Razi
Januari 8, 2021 09:36 MYT
Kebelakangan ini, banyak berita palsu berbentuk video atau gambar lama disebarkan semula ketika situasi banjir melanda beberapa negeri. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat atau berita palsu, terutamanya berkaitan banjir.
Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC Zulkarnain Mohd Yasin berkata, ia bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada masyarakat, malah terhadap para petugas barisan hadapan.
“Saya ingin menegaskan, penyebaran berita palsu ini bukan untuk suka-suka. Banyak kesan negatifnya terhadap masyarakat dan juga terhadap kegunaan sumber kepada kerajaan.
“Ini kerana, pihak frontliners (petugas barisan hadapan) yang bertugas, sama ada memberi bantuan semasa banjir, tidak kira polis atau bomba, mereka akan dialihkan perhatian untuk menangani panggilan-panggilan daripada masyarakat yang bimbang tentang keselamatan, akibat daripada berita palsu,” jelasnya.
BACA: Remaja lemas bantu mangsa banjir: Ibu pelik arwah makan 'nasi dingin'
BACA: Sangka ada pengalaman banjir, ada mangsa tak nak berpindah - Polis Kelantan
Kebelakangan ini, banyak berita palsu berbentuk video atau gambar lama disebarkan semula ketika situasi banjir melanda beberapa negeri.
Zulkarnain berkata, fenomena berita palsu ini bergantung kepada isu semasa kerana pihak tidak bertanggungjawab berkenaan cuba mencetus kontroversi dan dilihat sengaja menimbulkan kerisauan di kalangan masyarakat.
“Kita dapati, memang berlaku keadaan yang saya katakan bencana alam kemalangan dan sebagainya.
"Ada pihak-pihak yang memanipulasi perbualan untuk tujuan viral, atau mendorong trafik perbualan kepada page (platform) mereka dan sebagainya.
“Kedua, ada juga yang sengaja mencetus kontroversi bagi mendapatkan reaksi, sama ada negatif atau positif, bagi memenuhi agenda yang mereka ingin bawa, atau untuk mendapatkan pandangan daripada orang ramai untuk menyokong pendapat mereka,” tambahnya lagi.
Penyebaran berita palsu banjir tidak seteruk 2014
Bagaimanapun, melihat kepada rentetan berita palsu berkaitan banjir yang tersebar luas di platform media sosial, Zulkarnain menambah, ia tidak seteruk pada 2014 ketika mana lebih banyak maklumat palsu dikongsikan.
“Kita melihat dari aspek apa yang dilaporkan kepada kami. Sebagai contoh pada 2014, terdapat 13 berita palsu yang telah kami nafikan di portal sebenarnya.my.
“Namun, untuk tahun ini, kita baru menerima empat ‘tick-off’ dan dua penafian di portal sebenarnya.my yang telah kita keluarkan,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, penguatkuasaan boleh dikenakan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan berhubung penyebaran berita palsu, sama ada sengaja atau tidak, yang boleh menimbulkan situasi kegentaran kepada pihak awam.
“Itu boleh mengundang satu tindakan siasatan dan pendakwaan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
“Di samping itu, jika kandungan palsu tersebut menyakitkan hati orang atau mengancam mana-mana pihak, boleh juga diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” tegas Zulkarnain.
Statistik mangsa banjir (sehingga 7 Januari, 7 petang)
#MCMC #keselamatan #mati lemas #mangsa banjir #media sosial #berita palsu #banjir #kemalangan #bomba #polis #kerajaan #mangsa #lemas #siasatan #remaja #Kanun Keseksaan #Akta Komunikasi dan Multimedia #Zulkarnain Mohd Yasin #berita
;