Henti projek kuari Gunung Baling dan Gunung Pulai beri implikasi undang-undang - Sanusi

Abdul Hadi Che Awang
Jun 15, 2023 18:22 MYT
Muhammad Sanusi pada majlis penyerahan khemah, meja dan kerusi kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) di bawah Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman hari ini. - Foto Bernama
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan tindakan untuk memberhentikan projek kuari batu kapur di Gunung Baling dan Gunung Pulai berkemungkinan akan memberikan implikasi undang-undang serta kewangan kepada kerajaan negeri.
Menurutnya, kelulusan yang diberikan kepada projek berkenaan bukan satu kelulusan baharu sebaliknya lesen telah diberikan kepada pihak yang terlibat sejak tahun 1997.
Bagaimanapun, tegas beliau kerajaan negeri di bawah pimpinannya sentiasa mengambil maklum mengenai isu berkenaan dan sedang menguruskan langkah terbaik berkaitan itu.
"Dulu, saya ada pengalaman tengok (sendiri) di Singkir, Yan, di situ ada satu kuari, hendak dibatalkan kuari (berkenaan), (dan) RM40 juta kena bayar, jadi state tidak ada duit jadi kita minta mereka buat langkah pencegahan banjir.
"(Perkara ini ada) implikasi undang-undang, kewangan, apabila (projek melibatkan kuari ini) diberi kelulusan, (lesen itu) bukan baharu, (telah diberikan sejak) tahun 1997, sebahagian daripada tuan-tuan (pun) tidak ada lagi waktu itu," katanya.
Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas majlis penyerahan khemah, meja dan kerusi kepada Majlis Ketua Kampung (MKK) sempena Program Sejahtera Komuniti di Wisma Darul Aman, pada Khamis.
Pada Isnin, penduduk di sekitar Gunung Baling dan Gunung Pulai, memohon agar kerajaan negeri dapat memberi jawapan telus mengenai status cadangan projek kuari di dua gunung berkenaan, sama ada sudah dibatalkan atau sekadar ditangguhkan.
Rata-rata penduduk menyatakan kebimbangan mengenai projek itu kerana mendakwa sekiranya diteruskan akan memberi kesan buruk kepada penduduk termasuk menjejaskan kesihatan mereka.
Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee berkata, ini kerana jarak tapak cadangan kuari dari penempatan penduduk hanya sekitar 150 meter dari Gunung Pulai manakala 990 meter dari Gunung Baling.
Tambah aktivis alam sekitar itu, pihaknya juga sudah membuat 12 kali bantahan sejak 2018 dan tiga kali memorandum bantahan dihantar kepada pejabat Menteri Besar Kedah namun tidak mendapat sebarang jawapan bertulis.
#projek kuari #Muhammad Sanusi Md Nor #Gunung Baling #Gunung Pulai
;