Henti politikkan kos ECRL - Wee

Bernama
November 8, 2016 07:07 MYT
WEE: Kos akhir belum dimuktamadkan kerana ia melibatkan banyak pihak berbeza. -Gambar fail
Pembangkang perlu berhenti mempolitikkan kos Projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) kerana ia belum dimuktamadkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata walaupun anggaran kos projek 600 kilometer dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan itu adalah kira-kira RM55 bilion, kos akhir belum dimuktamadkan kerana ia melibatkan banyak pihak berbeza.
"Apabila kita bercakap mengenai satu memorandum persefahaman (MOU), ia bukan sekadar satu kontrak atau perjanjian semata-mata, sebagai contoh, ia tidak memperinci spesifikasi teknikal projek secara khusus.
"Sehingga mereka memuktamadkan dan mempersetujui segala butiran, rangka kerja akan diterjemahkan kepada kontrak sebenar. Saya berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media selepas melancarkan Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia Ke-8 di sini, pada Selasa.
Acara tahunan dua hari itu, yang bermula pada 16 Nov ini, akan menghimpunkan lebih 200 pembuat dasar, usahawan, penyelidik dan pemimpin pemikiran dari seluruh dunia untuk membincangkan topik-topik yang berkaitan dengan ASEAN dan China.
Semasa pembentangan Bajet 2017, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa projek itu akan dijalankan secara berperingkat melibatkan laluan dari Pelabuhan Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan akhirnya di Tumpat.
Pelaksanaan ECRL dijangka bermula tahun depan dan siap pada 2022.
Wee berkata projek itu akan menjana pertumbuhan ekonomi pesat buat negara terutamanya di bahagian pantai timur negara ini.
"Saya masih ingat kritikan terhadap Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dahulu, orang menyatakan ia hanya pembaziran wang tetapi hari ini, lebuh raya itu telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara kita.
"Projek ini (ECRL) dan hubungan dua hala serta kerjasama di antara Malaysia dan China akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara pada tahun-tahun mendatang dengan kemungkinan yang tidak berkesudahan," katanya. --BERNAMA
#ECRL #kos projek ECRL #Kuala Lumpur ke Tumpat #Wee Ka Siong
;