Henti polemik 'doktor vs ahli farmasi' - Dr Dzulkefly

Bernama
Oktober 20, 2018 17:56 MYT
Persefahaman yang wujud antara doktor dan ahli farmasi perlu dilihat daripada perspektif pesakit dan bukan dijadikan bahan perdebatan. -Gambar: Bernama
Polemik pengasingan dispensari atau pemisahan fungsi klinik dan farmasi perlu dihentikan kerana peranan kedua-duanya adalah sama penting untuk mengendali pesakit, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, persefahaman yang wujud antara doktor dan ahli farmasi perlu dilihat daripada perspektif pesakit dan bukan dijadikan bahan perdebatan.
Pengasingan dispensari boleh berlaku bergantung kepada kewajaran dan kepentingan untuk memenuhi keperluan pesakit, katanya.
"Andainya sesuatu tempat itu tiada farmasi hanya ada doktor, mereka (doktor) perlu sediakan preskripsi ubat dan beri ubat, manakala ada tempat doktor sediakan preskribsi ubat dan farmasi keluarkan ubat.
"Jadi kita tak boleh cipta undang-undang yang menyusahkan pesakit... kita mungkin menyaksikan sistem hibrid dan fleksibel. Bukannya atau atau dua atau ya atau tidak, tetapi adalah ya dan tidak," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Farmasi Sedunia 2018 peringkat kebangsaan di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly menjelaskan doktor berperanan untuk mendiagnos penyakit dan memberi preskripsi manakala ahli farmasi memiliki kepakaran dalam ubat-ubatan serta bertanggungjawab untuk menyediakannya.
Julai lepas, media melaporkan Persatuan Farmasi Malaysia berharap kerajaan akan mendedahkan kandungan lengkap Rang Undang-Undang Farmasi yang dilindungi Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Kali terakhir RUU itu dibincangkan adalah pada September tahun lepas.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata beliau sudah bertemu dan berbincang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam berhubung harga baharu jualan runcit rokok yang dijangka naik pada akhir bulan ini.
"Ada lagi beberapa perkara perlu diperhalusi dan saya akan rumuskan semuanya dalam waktu terdekat," katanya.
-- BERNAMA
#ahli farmasi #dispensari #Doktor #Dr Dzulkefly Ahmad #klinik
;