Henti perdagang, status hidupan liar Malaysia dan Asia Tenggara kritikal

Najmi Syahiran Mamat
Mac 3, 2020 17:56 MYT
Sebanyak 94 peratus jumlah kuantiti tangkapan sisik tenggiling adalah dari rantau Asia Tenggara. - Gambar TRAFFIC
BIARPUN ketika ini kita boleh berbangga dengan kekayaan sumber semulajadi hutan hujan tropika di Malaysia dan seluruh Asia Tenggara, tetapi kekejaman terhadap hidupan liar dilihat masih kritikal.
Sekalipun ia satu kurniaan Tuhan yang tiada tandingnya, namun tiada gunanya jika dalam diam kita sebenarnya telah menzalimi hidupan liar yang sepatutnya ketika ini sedang aman berlegar-legar di rimba.
Percaya atau tidak, selain mempunyai sumber hidupan liar, Malaysia juga dikategorikan sebagai transit utama untuk hub perdagangan hidupan liar di peringkat antarabangsa.
Menurut Pengarah Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) Asia Tenggara, Kanitha Krishnasamy, tidak hairanlah jika Malaysia menjadi sumber utama kepada pengguna ekoran kekayaan biodiversiti yang dimiliki negara.
“Hasil pemeriksaan ini berkait rapat antara negara-negara ASEAN dan serata dunia.
“Kawasan ini (Malaysia) boleh dikelaskan sebagai sumber, pengguna dan transit. Jadi, hanya dengan kuasa politik di setiap peringkat kerajaan dan kehendak untuk bertindak akan menumpaskan segala usaha perdagangan secara haram ini,” kata Kanitha dalam satu kenyataan.
Katanya, penguatkuasaan undang-undang yang lemah menerusi komersial perdagangan hidupan liar juga melemahkan peraturan di peringkat rantau.
Memetik laporan yang dikeluarkan oleh organisasi itu, sekitar 10 negara terlibat yang masih membenarkan perdagangan haram itu.
Kajian itu juga menekankan beberapa isu penting yang dilihat perlu ditangani segera termasuk kewujudan rangkaian jenayah, kadar sabitan kes yang rendah, undang-undang yang tidak mencukupi dan peraturan terhadap operasi pasaran jualan haram yang dianggap masih lemah.
Organisasi itu, bagaimanapun turut memaklumkan bahawa aktiviti perdagangan hidupan liar masih berleluasa meskipun bukti telah didedahkan bertahun-tahun dahulu.
Laporan TRAFFIC yang dikeluarkan pada 20 Februari berjudul ‘Southeast Asia: At the heart of wildlife trade’ itu dilapor oleh Kanitha bersama Pegawai Kanan Projek TRAFFIC, Monica Zavagli.
Laporan itu mengumpulkan data-data dan bukti yang dikaji berhubung perdagangan haram hidupan liar sepanjang satu dekad lalu.
Difahamkan, setiap informasi yang didedahkan dalam laporan itu hanyalah gambaran sekali imbas berhubung perdagangan hidupan liar terancam di mana secara realitinya benar-benar berlaku di Malaysia dan serantau Asia Tenggara.
Berikut antara dapatan kajian yang didedahkan oleh TRAFFIC memberi gambaran betapa
teruknya Malaysia dan Asia Tenggara berdepan dengan krisis biodiversiti itu.
* Penangkapan sebanyak 225,000 kilogram gading gajah Afrika di Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam sekitar 2008 hingga 2019.
* Sebanyak 94 peratus jumlah kuantiti tangkapan sisik tenggiling adalah dari rantau Asia Tenggara.
* Penangkapan sejumlah 100,000 ekor labi-labi spesies muncung babi di Indonesia sejak 2003 hingga 2019.
* Lebih 45,000 ekor burung penyanyi spesies ‘passeri’ dirampas di Sumatera dan Jawa sejak 2018.
* Lebih 6,000 ekor kura-kura spesies bintang India - berasal dari Asia Selatan - ditangkap dalam 10 insiden pada 2017 sahaja, dipercayai diseludup masuk ke Malaysia, Thailand dan Singapura.
* Lebih 3,800 ekor beruang di tangkap di Asia meliputi seluruh negara di Asia Tenggara sejak 2000 hingga 2016.
Dalam menangani krisis itu, organisasi itu turut menegaskan tentang kepentingan untuk memperbaharui rancangan membanteras jenayah itu.
BACA: Spesies hidupan terancam di Malaysia, ini yang perlu kita selamatkan
TRIVIA:
* Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia disambut setiap tahun pada 3 Mac.
* Tahun ini membawa tema ‘Mengekalkan Semua Kehidupan di Bumi”.
* Ia merangkumi semua spesies haiwan dan tumbuhan liar sebagai komponen utama biodiversiti di bumi.
#ASEAN #perdagangan hidupan liar #traffic #World Wildlife Day
;