Henti penerokaan kawasan baharu, pembalakan - Ahmad Jazlan

Astro Awani
Mac 27, 2016 21:29 MYT
Pihak kementerian akan mengeluarkan arahan supaya aktiviti pembalakan dekat kawasan tadahan hujan berkenaan dihentikan buat sementara waktu. - Gambar fail
Kerajaan negeri, syarikat serta pemaju-pemaju terlibat diminta supaya menghentikan sementara kerja-kerja pembukaan kawasan baharu, penerokaan tanah dan pembalakan terutamanya berhampiran kawasan tadahan air sepanjang musim panas yang sedang melanda negara ketika ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub memaklumkan, aktiviti yang dilakukan di kawasan pedalaman termasuk di Kelantan itu, bukan sahaja menyumbang kepada penipisan ozon, malah menjejaskan sumber air di kawasan tadahan atau hutan simpan.
"Dalam keadaan fenomena hari ini cuaca El Nino keadaan panas, kita tengok sawah padi banyak yang kering, tali air kering dan sudah tentu ianya melibatkan bekalan air bersih.
Kawasan luar bandar pastinya terjejas dan ramai di Kelantan yang menetap di luar bandar bergantung kepada air semulajadi, contohnya kawasan tadahan hujan," katanya.
Justeru, pihak yang terlibat perlu memainkan peranan, hentikan segala aktiviti yang boleh mengakibatkan keadaan menjadi lebih buruk selain meningkatkan usaha memelihara alam sekitar.
"Kita merayu kepada pihak berkaitan kalau boleh hentikan dulu kegiatan penebangan pokok penerokaan hutan di kawasan tertentu ini kerana sumber air adalah penting dalam kehidupan.
Kata beliau, jika aktiviti itu berterusan dengan skala hujan yang tidak menentu, air akan menjadi keruh dan tidak dapat digunakan.
Sehubungan itu, pihaknya mengeluarkan arahan supaya aktiviti dekat jawasan tadahan hujan berkenaan dihentikan buat sementara waktu.
Ahmad Jazlan ditemui pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategil Kautan Biru Kebangsaan di Kampung Lepah, Selising di sini hari ini.
#Ahmad Jazlan Yaakub #balak #El Nino #Kelantan #Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
;