Henti operasi LRT: 150 petugas bantu kelancaran operasi bas percuma
Ridauddin Daud
April 2, 2023 15:50 MYT
April 2, 2023 15:50 MYT
KUALA LUMPUR: Rapid Bus Sdn Bhd menyediakan kira-kira 150 petugas bagi membantu kelancaran operasi bas percuma.
Ia susulan pemberhentian operasi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bermula hari ini.
Ketua Pegawai Operasinya, Ku Jamil Zakaria berkata, kakitangan juga akan bertugas dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam bagi membantu pengguna.
Menurutnya, sebanyak 40 buah bas akan bergerak di laluan tersebut dengan menetapkan sasaran kekerapan 10 ke 15 minit.
“Kita telah bekerjasama dengan pihak DBKL untuk memastikan semua laluan bas dikuatkuasakan dengan baik.
“Kita juga nak pastikan semua laluan kita itu sampai pada waktu yang ditetapkan. Frekuensi kita pun dalam 10 ke 15 minit.
“Kita harap pengguna dapat keluar awal dan tunggu di semua stesen yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Stesen LRT Masjid Jamek, di sini, pada Ahad.
Beliau turut menasihatkan penumpang menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan info terkini.
Tinjauan Astro AWANI mendapati warga kota sudah mula menggunakan perkhidmatan bas percuma itu yang mula beroperasi pada Ahad.
Bas di Laluan 13 dan 14 merupakan laluan ekspres dengan Bas 13 bergerak dari Stesen LRT Masjid Jamek ke stesen Sentul dan Sentul Timur manakala Bas 14, dari Masjid Jamek ke Stesen LRT Titiwangsa.
Manakala, Bas 11 pula merupakan bas perantara yang akan berhenti di lima lagi stesen yang terjejas dari Masjid Jamek ke Sentul Timur.
Stesen yang dihentikan operasi ialah Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur susulan isu berkaitan keselamatan.
Operasi terpaksa dihentikan kerana tren digunakan untuk perkhidmatan di antara Stesen Bandaraya ke
Stesen Sentul Timur tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
Ia susulan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang telah menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari 2023.