Henti menderma, 'Tabung Kereta Baru Mat Sabu' ini adalah palsu

Syakirah Zulkifly
Mei 28, 2018 21:24 MYT
Menurutnya, sebarang kutipan derma yang menggunakan nama beliau haruslah mempunyai persetujuan dan kebenaran daripadanya. - Foto BERNAMA
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menafikan bahawa beliau melancarkan kutipan derma RM1 bagi menggantikan kenderaan miliknya seperti yang tersebar di aplikasi WhatsApp.
Katanya, ada pihak yang tidak bertanggungjawab itu melancarkan ‘Tabung Kereta Baru Mat Sabu’ dengan cadangan setiap orang menderma RM1 ke dalam akaun peribadi miliknya.
“Saya nak cadangkan kita derma seorang RM1 sahaja kepada Tabung Kereta Baharu Mat Sabu. Kalau kerajaan kita boleh tukar, marilah kita tukar Viva, Yang Berhormat Mat Sabu.
“Kerana Abang Mat Sabu seorang wira perang dan memang layak duduk di Kementerian Pertahanan.Ini juga merupakan satu hadiah atas jasa-jasa dan suara lantang serta kuat memperjuangkan keadilan dan kebenaran,” tulis kenyataan palsu itu.
Bagaimanapun, Presiden Parti Amanah Negara itu menyatakan kutipan tabung kereta baharu tersebut adalah palsu.
Menurutnya, sebarang kutipan derma yang menggunakan nama beliau haruslah mempunyai persetujuan dan kebenaran daripadanya.
“Pada masa sama, tidak ada sebarang derma yang boleh dikutip menggunakan nama saya tanpa sebarang persetujuan dan kebenaran daripada saya,” katanya menerusi akaun peribadi Facebooknya.
Tambahnya, segala berita mengenai beliau selepas ini hanya akan dikeluarkan melalui kenyataan atau akaun media sosial rasmi seperti Facebook, Twitter dan Instagram miliknya.
#berita palsu #kerajaan #Mat Sabu #media sosial #Mentor Pertahanan #Mohamad Sabu #Parti Amanah Negara #WhatsApp
;