Henti mempertikaikan integriti pasukan khas siasat kes 1MDB - JKMR

Media Statement
Julai 15, 2015 05:45 MYT
JKMR meminta semua pihak untuk berhenti mempertikaikan integriti pasukan khas yang menyiasat kes 1MDB.
Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sebuah badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, telah dan sedang mengikuti dengan rapi perkembangan semasa berkaitan siasatan kes 1MDB.
JKMR dianggotai oleh tujuh Ahli Parlimen dari Barisan Nasional, DAP, PKR dan PAS, dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
JKMR berpendapat bahawa kes 1MDB yang sedang disiasat oleh Pasukan Petugas Khas sekarang merupakan satu kes yang amat penting dan serius demi kepentingan negara.
Sebagai Pengerusi JKMR, saya berpendapat Pasukan Petugas Khas ini sebuah badan yang diwakili oleh empat pemimpin tertinggi agensi-agensi, yang mampu dan berkeupayaan untuk membuat penyiasatan dengan begitu teliti, bebas dan telus.
Pasukan Petugas Khas ini sedang giat menjalankan tanggungjawab mereka untuk membuat penyiasatan dengan secepat yang mungkin. Semasa siasatan sedang berjalan, diharap semua pihak akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Pasukan Petugas Khas ini.
Di samping itu, JKMR berasa amat terkilan dan kecewa dengan adanya kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi pertubuhan bernama Gerakan Harapan Baru (GHB), yang dikeluarkan pada 13 Julai 2015. Pengerusi GHB mendakwa kononnya siasatan yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas ini bertujuan untuk melindungi perkara yang sebenarnya.
Dakwaan ini merupakan kenyataan yang berniat jahat dan tidak bertanggungjawab. JKMR berpandangan kenyataan yang dibuat bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malahan merupakan satu fitnah dan tohmahan yang tidak berasas sama sekali.
Di samping itu, kepada semua Ahli Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), JKMR berharap agar semua mereka tidak lupa kepada kenyataan semasa angkat sumpah sebelum disahkan pelantikan sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Negara. Mereka hendaklah betul-betul menghayati dan bertanggungjawab kepada lafaz ikrar untuk taat setia kepada Malaysia, dan juga melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Tan Sri Abu Zahar Ujang
#1MDB #Gerakan Harapan Baru #pasukan petugas khas