Henti memperlekeh peranan wanita dalam Dewan Rakyat - Aktivis

Firdaus Azil
Julai 16, 2020 11:34 MYT
Ia sentiasa menjadi cabaran untuk perwakilan wanita di negara ini, melainkan agenda memartabatkan wanita terus diperjuangkan semua pihak
Kenyataan menghina wanita dalam sidang mesyuarat Dewan Rakyat baru-baru ini nyata mencerminkan tahap kematangan segelintir Ahli Parlimen negara ini.
Namun, aktivis Liga Rakyat Demokratik Azira Abdul Aziz berpendapat, ia akan sentiasa menjadi cabaran untuk perwakilan wanita di negara ini, melainkan agenda memartabatkan wanita terus diperjuangkan semua pihak, tidak kira Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat yang diterajui Datuk Seri Rina Harun juga harus memainkan peranan penting di dalam Dewan Rakyat, bagi mengelakkan insiden perwakilan wanita diperlekehkan lagi.
"Ini sangat penting kerana kita sebagai wanita, di mata masyarakat, di tempat awam, patut mempertahankan antara satu sama lain. Tidak semestinya berlainan fahaman politik, berlainan parti pun, berlainan apa pun, kamu tetap manusia biasa. itu pendapat saya. Nak tukar mentaliti ni susah.
“Di manakah wanita. Ia adalah penting bukan saja wanita ada jawatan, tapi mereka juga harus dilihat berada di meja perbincangan , berada di meja pembuat keputusan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto baru-baru ini mempertimbangkan untuk merujuk Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataan 'gelap' dan 'bedak' yang disifatkannnya sebagai rasis.
Selain itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Seri Azalina Othman Said turut tidak terlepas dari kenyataan sinis segelintir Ahli Parlimen yang melihat beliau perlu memakai songkok kerana tidak bertudung.
BACA: Kenyataan 'bedak', 'gelap': Kasthuri Patto mahu rujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen
BACA: Speaker asks Abdul Azeez to apologise for using offensive words 'gelap', 'bedak'
Mengulas lanjut, Azira berkata, beliau berpandangan merit tetap harus diutamakan berbanding kesaksamaan jantina, namun itu tidak bermaksud golongan wanita langsung tidak berkelayakan dalam memegang jawatan yang signifikan.
"Nak naikkan wanita hak wanita atau kesaksamaan jantina pun kena ada kelayakan. Kena pastikan mereka boleh buat kerja, kena ada profesionalisme mereka, kena tengok dia punya etika, kena tengok secara menyeluruh. Bagi saya merit tetap lebih daripada kesaksamaan gender.
“Tetapi, patut diberikan platform atau peluang untuk mereka yang selama ini tidak mempunyai ruang ataupun sukar mendapat akses tersebut untuk menunjukkan mereka boleh buat kerja,” katanya lagi.
Sementara itu, Penganalisis Sosiopolitik dari Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, agenda memartabatkan wanita itu bukanlah sekadar mainan politik semata-mata, tetapi ia harus menjadi agenda negara secara keseluruhan.
"Jadi apa pun yang berlaku dalam suasana politik negara kita, agenda memartabatkan wanita itu, memastikan wanita itu mendapat tempat dan kedudukan mereka sesuai dengan kelayakan dan prestasi mereka sendiri perlu dijadikan satu agenda yang berterusan, tanpa mengira kerajaan dikuasai Pakatan Harapan atau pun Perikatan Nasional.
“Maknanya agenda memperkasakan wanita itu sendiri mengiktiraf hak-hak wanita itu sendiri sebagai wanita yang berkebolehan, berkelayakan dan mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah kaum lelaki itu sepatutnya diambil kira,” katanya lagi.
#Awang Azman Awang Pawi #Azalina Othman #Azira Aziz #Dewan Rakyat #Liga Rakyat Demokratik #Pakatan Harapan #Parlimen #Perikatan Nasional #politik #universiti malaya #wanita
;