Henti kempen selepas 12 tengah malam - Polis

Astro Awani
Mei 8, 2018 08:21 MYT
Semua parti politik perlu mematuhi arahan dan menghentikan kempen selepas jam 12 tengah malam ini. - BERNAMA/Fail
Semua parti politik yang bertanding pada PRU14 diingatkan menamatkan sebarang bentuk dan aktiviti kempen termasuk konvoi selepas jam 12 tengah malam ini.
Pegawai Perhubungan Media PRU14 kontinjen Selangor, ACP Nordin Manan, berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya kepada parti politik yang melakukan kempen selepas masa ditetapkan.
"Semua pihak yang bertanding hendaklah memastikan larangan berkempen selepas waktu kempen dipatuhi sepenuhnya. Pihak polis akan terus memantau dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya kempen terus dilakukan selepas jam 12 tengah malam," katanya.
Nordin berkata, sebanyak 1,878 permit ceramah PRU14 dikeluarkan di Selangor.
Tambahnya, sepanjang tempoh berkempen sehingga semalam, sebanyak 144 laporan polis telah diterima oleh polis Selangor.
Manakala sebanyak 53 kertas siasatan telah dibuka polis Selangor dan kebanyakannya melibatkan kes khianat.
Beliau juga menasihatkan semua pengundi untuk keluar awal dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Pengundi juga dinasihatkan untuk berkongsi kereta ke tempat mengundi dan mematuhi arahan sepanjang perjalanan ke tempat mengundi.
Nordin juga mengingatkan supaya penyokong parti tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang proses pengundian berlangsung.
#ACP Nordin Manan #kempen #MalaysiaMemilih #parti politik #PRU14 #Selangor